Pengikut Setia - Terima Kasih

Ahad, 10 Mei 2009

Mengapa ISA wajib diharamkan




ADUN Hulu Kelang, YB Saari Sungib menggariskan empat perkara asas mengapa ISA perlu di haramkan oleh kerajaan.

1.Kaedah fiqhiyyah

Saari memberi contoh bagaimana kisah baginda menyoal siasat Hatib bin Baqa'ah (seorang sahabat) yang membocor rahsia kepada kaum Quraisy bahawa Rasulullah SAW akan memasuki kota Mekah.

"Pada prinsipnya, ada pendengaran iaitu pertuduhan didengar kepada umum. Pada zaman Rasulullah SAW, tidak ada hukuman sebelum perbicaraan," katanya.

Selain itu, Saari juga berhujah dengan kaedah fiqhiyyah untuk menjustifikasikan bagi memansuhkan akta kontroversi itu.

Menurut Islam, terdapat satu keadah fiqhiyyah yang berbunyi, "al-dharrar yuzalu bil-syara" yang bermaksud kemudharatan itu ditolak oleh syarak, kata Saari.

2.Kemudaratan kepada keluarga mangsa
Akta tersebut membawa kemudaratan kepada orang yang dituduh dan keluarga mangsa terbabit

"Penahanan tanpa bicara di bawah akta tersebut adalah satu tindakan yang zalim kerana hak-hak individu untuk membela diri dirampas sehingga tidak berpeluang untuk membukti seseorang itu tidak bersalah.

"ISA juga membawa kemudaratan kepada si isteri dan anak-anak tertuduh yang terpisah dengan si suami atau bapa.

p/s - Tidak sedikit laporan Harakah dan lain-lain akhbar yang bersimpati bagaimana si ibu terpaksa berkerja, anak-anak ditinggalkan, tidak bersekolah dan sebagainya. Kerajaan mengatakan mereka tidak bersalah, dan bagi penjawat awam boleh berkerja semula jika dibebaskan kelak, tapi hakikatnya, mereka telah difitnah seolah-olah bersalah tanpa bicara, punca pendapatan terhenti, kasih-sayang anak dan bapa tersekat dan hubungan suami isteri terputus. Tidak sedikit pasangan yang bercerai kerana dihasut oleh SB.

3.Peluang bela diri

"Mereka menghadapi tekanan perasaan, (rasa) terpisah, takut, kecewa dan marah," kata Saari yang telah menulis beberapa buah buku mengenai kisah pengalamannya di Kamunting.

Beliau juga mendakwa tahanan ISA turut diperlakukan dengan penyeksaan seperti dipukul dan dibelasah.

Mengulas lanjut mengenai pandangan Islam terhadap ISA dan penahanan tanpa bicara ini, Saari berkata, Islam memberi peluang kepada yang dituduh untuk membela diri.

"Sekiranya beliau (tertuduh) tidak mampu untuk mengupah peguam, maka orang ramai atau baitulmal harus menanggung untuk membela dirinya.

"Tidak boleh dihukum sehingga diberi peluang seluas-luasnya untuk membela diri... sehingga tidak ada seorang pun yang tidak dibela," katanya sambil menyentuh kuasa penuh menteri untuk menahan seseorang selama dua tahun yang menurutnya akan, mungkin atau bakal memudaratkan negara.


4.Piagam hak asasi manusia


Oleh itu, kata Saari, Islam melarang mengambil keputusan untuk menahan sebelum tertuduh sebelum mereka dibuktikan kesalahan dan dibicarakan di mahkamah.

Selanjutnya, sebab ketiga penolakan akta ini, tegas Saari, ialah penahanan tanpa bicata ini telah ditolak daripada empat mazhab utama dalam Islam,iaitu Hanafi, Maliki, Syafiie dan Hanbali.

"Mereka bersepakat menolak tentang perkara tersebut," kata Saari.

Tambahnya, ISA juga ditolak kerana ia bercanggah dengan piagam hak asasi manusia yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), selepas peperangan dunia kedua.

"Pada tahun 1981, telah diluluskan satu piagam alternatif iaitu deklarasi Islam sedunia tentang hak asasi...kedua-dua piagam tersebut tidak bersetuju dengan penahanan tanpa bicara," kata Saari.

" (Oleh itu) ISA adalah haram kerana ia bercanggah dengan al-Quran, amalan Rasulullah SAW, Khulafa' Rasyidin, imam-imam mazhab dan bercanggah dengan apa yang ditetapkan oleh masyarakat antarabangsa," katanya.

1 ulasan:

  1. mungkin hanya terfikir isu politik shj..bacalah 'fulltext'akta ni..

    BalasPadam

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama