Pengikut Setia - Terima Kasih

Sabtu, 23 Mei 2009

Lagi tokoh sastera tolak PPSMI


Walaupun tersohor dan disebut-sebut sebagai calon Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan mungkin mengalami laluan sukar mencapainya.

Beliau semakin lantang mempertikaikan dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) - hari ini di depan 200 penulis muda dunia sastera Melayu.

"Adalah suatu ironi dan tragedi apabila bangsa yang sedang berkuasa di sesebuah negara, tidak menggariskan wawasan yang besar dan realistik tentang masa depan bahasanya, sebaliknya meminggirkan bahasanya ke sudut pentas kehidupan utama bangsa dan negara," katanya dalam ucap utama di perhimpunan terbesar sasterawan muda Malaysia.

"Jika sesuatu dasar, seperti dasar PPSMI ini hanya memberi faedah kepada segelintir pelajar, tetapi dalam masa yang sama mengecewakan begitu banyak pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman, maka dasar itu boleh dianggap gagal.

"Para pelajar di luar bandar, ceruk dan pedalaman bukan sahaja tidak dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, malah lebih malang lagi tidak dapat menguasai ilmu sains dan matematik yang disampaikan bukan melalui bahasa ibunda mereka.

"Jika kegagalan itu berterusan, dan dianggap remeh pula oleh kementerian yang berkenaan, maka satu generasi pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman (kebanyakannya Melayu) menjadi mangsa kepada dasar yang tidak adil ini.

"Akibat kegagalan itu, mereka akan terlepas peluang pekerjaan yang lebih baik."

Bekas pengarah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu yang terkenal dengan novel Naratif Ogonshoto – satira politik yang mengecam kerakusan orang berkuasa – menyampaikan ucapannya berjudul 'Arah dan Cabaran Penulis Muda' di Melaka pagi ini.

Dalam ucapannya kira-kira sejam, beliau menegur ahli politik Melayu dalam kerajaan yang menjadi pencetus utama timbulnya rasa tidak yakin terhadap bahasa mereka sendiri.

"Sejak sedekad yang lalu, masyarakat Melayu pada umumnya meragui adanya rasa bangga (terhadap) bahasa Melayu di kalangan ahli politik Melayu yang berkuasa," katanya.

Anwar berkata, sikap pemimpin tersebut digambarkan melalui penggunanan bahasa Inggeris dalam majlis rasmi dan tidak bersungguh-sungguh membina jati diri kolektif pelajar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang tunggal.

"Mereka mempunyai pertimbangan lain, termasuk politik, yang dilihat lebih besar dan wahid (pertama) berbanding bahasa bangsanya," katanya.

Teks ucapannya juga boleh diperolehi di blognya.

Kritikan Anwar hari ini yang pertama dilontar di depan khalayak sebesar itu, selain wawancara di sebuah tabloid politik dan dialog-dialog kumpulan kecil masyarakat sastera.

Walaupun pelbagai pihak dan tokoh budaya sebelum ini lantang menuntut pemansuhan dasar kontroversi itu – sehingga membawa kepada demonstrasi besar 7 Mac lalu – Anwar dilihat tidak lantang sebelum ini.

Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2000 melalui novelnya itu turut terkenal dengan novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Arus.

Selain Anwar, tokoh-tokoh lain yang disebut layak untuk Sasterawan Negara penyair Datuk Baharuddin Zainal dan novelis Zaharah Nawawi.

Malaysiakini difahamkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 selama tiga hari sejak pagi tadi akan merumuskan satu resolusi membantah dasar PPSMI.

Awal bulan ini, kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup termasuk Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain menolak dasar kontroversi itu - pertama kali gabungan tokoh besar budayawan Melayu secara terbuka dan berani menentang dasar kerajaan.

diambil dari malaysiakini

3 ulasan:

  1. YAB Menteri Pelajaran tengah dok cari idea bagaimana nak selesai isu ini..
    dalam pada tu ada syor batalkan pilihan max 20 subjek dlm SPM..tukar lagi!!

    BalasPadam
  2. PPSMI patut diteruskan..tapi bagi lah ikut pilihan

    sape nak BI..BI lah..sape nak BM..BM lah..

    aku dak sains kimia kat UTM...

    library nye buku semue dalam bahasa inggeris..

    lau pengajaran dalam BM...mati aku nak transfer

    ayat2 kimia dalam bahasa inggeris...


    aku last batch SPM yang guna maths n sains dalam

    bahasa melayu..masuk U je...pening kepala nak

    carik buku rujukan bahasa melayu...semue bahasa inggeris

    ...PPSMI perlu diteruskan.....bagi sape nak amik

    kejuruteraan or sains..pilih lah PPSMI..sape yang nak amik

    sastera...pilih la bahasa melayu...senang citer...

    kat IPTA bukan saje orang malaysia yang blaja tapi

    ade foreigner...takkan nak bahagikan kelas...

    kalau PPSMI dimansuhkan sekarang...bermakne kat IPTA

    pun akan gune bahasa melayu...menyusahkan kite

    sebagai seorang pelajar...dah la bahsa inggeris..nak kene

    tukar minda plak pakai ayat2 kimia dalam bahasa

    melayu...pastu bazir duit kerajaan nak bayar

    professor2 untuk translate buku2 kat library

    dalam bahasa melayu...

    suke hati...tak payah nak mansuh2..

    sape yg nak blaja maths n sains dalam bahasa

    melayu...blaja la..nak dalam bi...blaja la..

    BalasPadam
  3. Saudaraku shazreen,
    Ini soal yang lebih besar dari apa yang saudara alami.

    1. Bahasa Melayu bukan satu bahasa yang kecil, tetapi dituturi lebih dari 200 juta umat.

    2.Bahasa adalah hidup. Jika tidak digunakan akan mati atau bernilai kurang, lihat bahasa jawa.

    3.Punca penentanga dalam kes 152 pada 1967, ialah kerana tiada penegasan kerajaan dalam soal bahasa dan bolehnya selain bahasa melayu.

    4.Bahasa jika tidak satu dan boleh pilihan orang akan cenderung untuk memilih, maka orang akan memilih yang lebih popular. Menteri senderi bercakap inggeris dalam sidang media, dan tentulah rakyat akan terikut dan bahasa melayu akan menjadi tidak popular.

    5.Bahasa melayu adalah bahsa ilmu, lihat ukm dan indonesia, berapa ramai santis dan doktor yang dilahirkan dengan bahasa melayu?

    6.Penterjemahan adalah penting, bukan pembaziran. Ketika USA berusaha untuk mencipta atom, mereka terpaksa menterjemahkan banyak buku dari bahasa jerman. Mengapa mereka tidak saja belajar bahasa jerman? ini kerana dengan penterjemahan lebih ramai orang dari bangsa tersebut dapat pelajari ilmu itu dengan mudah dan cepat.

    7. Bayangkan kita dipaksa belajar islam dalam bahasa arab? ntah-ntah kita belum islam lagi kerana nenek moyang kita sukar belajar dan lambat. Penterjemahan adalah penting, itulah yang dilakukan indonesia, jepun dan lain-lain negara eropah. Penterjemahan mewujudkan industri penterjemahan dan peluang pekerjaan.
    Penterjemahan juga membuatkan sesuatu ilmu itu tidak exklusif. Orang kampong pun boleh baca buku macam mana enjin berfungsi jika mereka mahu. Bukan pergi kedai buku dan hanya terjumpa novel kerana hanya itu dalam bahasanya.

    8. Lihat penerima anugerah nobel, adakah ramai dari orang inggeris atau apa?

    9. Filipina dan india antara yang guna inggeris sebagai bahasa rasmi, adakah mereka lebih maju?

    10. Kita bangga denga camry, mercedes, bmw, murano, subaru, ferari dan peugeot. negara ini semua bukan dari inggeris.

    11.Mara hantar ramai pelajr ke jerman dan jepun. Saudara fikir mereka belajar dalam bahasa inggeris atau melayu? mereka belajar dengan bahasa dinegara tersebut. Mengapa harus dikorbankan bahasa kita untuk dua tiga kerat orang luar?

    12. Iran dan korea boleh saja lancarkan peluru berpandu dan nuklear, mereka tak guna bahasa inggeris pun.

    13. Saya juga pelajar sains, saya akui kesusahan saudara, tapi ini maruah kita, adakah bahasa melayu begitu hina? jika kerajaan ikut seperti yang dijanjikan untuk jadikan bahsa melalyu sebagai bahasa rasmi dan tunggal sepuluh tahun selepas merdeka, maka ketika saudara dan say ke universiti dulu semua buku dalam setiap disiplin telahpun diterjemahkan dalam bahsa melayu. Dan istilah sains dalam bahsa melayu yang sekarang kita rasa pelik akan mudah kerana telah biasa digunakan, jika kita bertegas sejak 1967..

    14. Disekolah sekarang sudah ada english for sc and tech. Jadi kenapa perlu paksa budak-budak belajar inggeris dalam sains dan matematik lagi?

    15. Matematik dan sains bukanlah cara untuk meningkatkan penggunaan bahasa inggeris, kerana math lebih kepada simbol dan istilah sains adalah berasal banyak dari latin.

    Ada banyak lagi hujah, sila baca buku PPSMI mengapa kami bantah. TK

    BalasPadam

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama