Pengikut Setia - Terima Kasih

Selasa, 19 Mei 2009

Bijaksana Ulama' melangkah ke Putrajaya

Dah lama sangat rasanya aku tak menulis, minggu lepas balik kampung, sempat buka dan baca orang punya posting saja,nak tulis tak sempat, banyak layan orang tua dan rakan-rakan. Tapi sempatlah komen kat blog orang.





Hari ini dalam siasah, aku dapat lihat yang PAS nak bina sebuah pusat konvesyen yang bernilai 27 juta dekat Putrajaya. Kenyataan Hj Hadi turut menyebut yang ianya sebagai satu langkah persediaan untuk PAS ke Putrajaya. Ayat yang dah lama tak dengar sejak kegagalan Anwar pada 16 September. Sebelum itu Hj Hadi dengan tegasnya menyebut yang tiada politik wang di dalam PAS. Sejak akhir-akhir ini media cuba kaitkan PAS dengan politik wang, tapi nampaknya tidak berjaya. Bagi aku apa susah, kalau rasuah, laporlah pada SPRM.

Hj Hadi juga kini sah menang jawatan presiden PAS tanpa bertanding. Salah-satu yang orang UMNO sering cakap tapi tak buat ialah mentaati pemimpin. Kerajaan dalam menghadapai kebangkitan rakyat sejak 99 sering menggunakan ayat al-Quran betapa perlunya ketaatan kepada pemimpin, tapi hakikatnya kita dapat melihat bagaimana nasib Tun Abdullah.

Tun Abdullah pernah membuat satu kejutan besar yang dikenali sebagai gelombang biru apabila berjaya menang dengan begitu besar sekali pada PRU 04. Kemenangan paling besar BN sejak ditubuhkan. Kemenangan tersebut juga merupakan satu tamparan kepada PAS apabila kalah dibanyak tempat dan paling terasa ialah dengan jatuhnya Terengganu.

Kekalahan PAS ketika dipimpin oleh Hj Hadi buat kali pertamanya. Bagaimana perasaan Hj Hadi tidak pula diketahui. Tetapi ahli PAS begitu setiakan pemimpin mereka itu. Tidak pula mereka menyuruh Hj Hadi yang telah hilang gelaran YAB itu berundur.
Apa yang terjadi sebaliknya, ketika BN merasa begitu hebat, PAS menyusun langkah, beberapa tahun kemudian, PAS memindahkan ibu pejabatnya dari Taman Melewar ke Jalan Raja Laut. Sejak dari tahun 99 PAS mula menerima kebanjiran ahli profesional. Nama-nama seperti D. Dr Hasan Ali, Dr Hatta Ramli, D. Kamarudin Jaafar, Ir Khalid Samad dan ramai lagi. Tentulah pemindahan PAS ke Jalan Raja Laut menampakan satu proses keprofesinolan PAS itu sendiri. Dibandingkan dengan kedudukan Taman Melewar yang jauh ke dalam taman perumahan.



Kini PAS berbangga dengan bangunannya di tengah-tengah nadi ibu kota, walaupun pada hakikatnya PAS kalah besar dalam pilihanraya sebelumnya. Kehadiran PAS di bandaraya KL tentu sekali membawa banyak makna. Salah satunya ialah kesediaan PAS untuk mendapingi penghuni kota. PAS sering dikaitkan dengan kekampongan dan tidak maju.
Kehadiran PAS di Jalan Raja Laut yang bersempadan dengan Lorong Hj Taib juga membawa seribu makna dan peluang untuk PAS berdakwah kepada golongan di belakang bangunan tersebut. Pemuda dan muslimat PAS pada awalnya kelihatan bersungguh-sungguh untuk menjalankan misi dakwah tersebut, tapi mungkin kerja dakwah tidak popular atau lebih tumpuan pada politik, nampaknya bagai tiada lagi usaha kearah itu. Bukan menuduh, tapi memang tiada laporan menganainya berbanding dahulu.

Walau bagaimanapun tumpuan PAS pada politik tidak pula merugikan parti Islam tersebut apabila berjaya menghantar wakilnya dari kerusi Kuala Lumpur. Titiwangsa dimenangi oleh AJK PAS Pusat Dr Lo'Lo' TS Ghazali. Sedang PAS berjaya bertapak di KL, pesaingnya UMNO pula hilang dua kerusinya di wilayah perseketuan.

Selain kemenangan PAS di KL, PAS juga berjaya mempertahankan Kerajaan Kelantan yang nyawa-nyawa ikan dipukul gelombang biru Tun Abdullah. Malah PAS juga bersama PR berjaya membentuk kerajaan di Kedah, Selangor dan Perak. Manakala rakan PR DAP berjaya di P.Pinang.

Kejayaan ini kemudianya membentuk Pakatan Rakyat. Pada awalnya mereka terpaksa berkahwin setelah melihat kehendak rakyat menolak BN. Walhal PAS dan DAP telahpun bercerai talak tiga sebelum PRU o4. Sebelum ini, bagi menghadapi PRU 99, PAS DAP dan PKR ( Keadilan pada masa itu ) berkahwin bagi membentuk satu barisan yang kemudianya dikenali sebagai barisan alternatif, BA. BA berjaya mengalahkan BN di banyak tempat. PAS menang bergaya di Terengganu, dan berjaya hilangkan 2/3 majaroti BN di Kedah. Tetapi atas banyak sebab terutamanya soal hudud, PAS dan DAP tidak dapat bersama lagi. Faktor Tun Abdullah yang pada masa itu turut dikenali sebagai Mr Clean dan tiadanya perpaduan dalam BA, maka BN menang besar dalam sejarahnya pada PRU 04.

Kini PAS, DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat. Dengan terbentuknya Pakatan Rakyat, seolah-olah terbentuknya sistem dua parti yang aku idam-idamkan selama ini. Sistem dua parti yang membolehkan rakyat mendapat keuntungan maksima. Persaingan antara dua parti yang besar dan kuat memang menguntungkan rakyat seperti mana posting aku berkenaan bil air dan api serta cuti bersalin.

Bayak orang bertanya, mengapa PAS menolak untuk berkerjasama dengan UMNO khususnya di Perak? Sedangkan usaha UMNO untuk berkerjasama dengan UMNO di Perak smpai melibatkan usaha DS Mufti. SS Harussani dikatakan dua kali bertemu Nik Aziz dan satu pertemuan tersebut memaksa Harussani terbang ke Kota bharu. PAS sanggup untuk berkerjasama dengan DAP yang mana pengerusinya berkata langkah mayat saya dulu jika ingin laksana hudud.

Nik Aziz selaku Mursyidul Am PAS adalah tokoh yang paling lantang menolak kerjasama dengan UMNO. Pengalaman mengajar Nik Aziz. PAS Ditendang dari BN,Kerajaan Kelantan dirampas dan di Magerankan, Terengganu di tarik royalti minyaknya, peruntukan tahunan negeri dilambat-lambatkan dan peruntukan khas wakil rakyatnya tidak di beri. Itu adalah antara kezaliman dan penindasan BN pada PAS. Tetapi bukan itu faktor utama PAS menolak kerjasama dengan UMNO.

Sebab lainnya ialah perjanjian kerjasama dengan tulang belakang PR iaitu PKR. PAS dan PKR mempunyai perjanjian dalam menghadapai BN sebelum PRU 08. Islam amat menitik beratkan soal perjanjian. Nabi Muhammad s.a.w sampai sanggup menghantar puluhan ribu bala tentera untuk menyerang Makkah kerana kafir Quraish melanggari perjanjian hudaibiah. Walhall perlanggaran perjanjian tersebut kalau diikutkan sikit saja. Tidak secara langsung melibatkan kaum Quraish. Tetapi nabi begitu tegas, tegasnya nabi soal perjanjian hikmahnya ialah kemenangan kerajaan Islam Madinah keatas Makkah.

Dan soal utama penolakan PAS keatas pelawaan UMNO ialah soal menghargai perkenan rakyat keatas PR. Rakyat jelas menolak BN pada PRU 08. Rakyat sebolehnya mahukan sebuah kerajaan yag baru. Tapi kerajaan itu mesti pula bersatu dan kuat. Jika PAS bersatu dengan PR di empat negeri dan bersatu dengan UMNO di Perak, maka PAS akan dilihat sebagai perkauman. Walhal sebagai parti islam, PAS memperjuangkan nasib semua selaras tuntutan Islam. Lebih dari itu, kepercayaan yang diberi rakyat akan ditarik semula pada PRU akan datang. PAS tentunya akan kalah pada PRU akan datang.

Tangan yang dihulur ketika UMNO nazak tidak menjamin yang UMNO akan setia. Pengalaman di tendang BN dulu masih segar dalam ingatan. PAS tidak mahu dilihat tidak setia pada PR, melanggar perjanjian dan tidak menghargai kepercayaan rakyat. PAS begitu lama berusaha untuk buktikan bahawa mereka boleh memerintah. Membuktikan yang mereka tidak kolot, tidak perkauman dan membuktikan yang perjuangan mereka relevan untuk semua. Inilah sejak ada media baru PAS boleh bernafas. Maklumatnya sampai terus ke sasaran, dengan senang juga menangkis serangan musuh. Mengapa PAS harus berundur ke belakang?

Jika ditanya tentang soal perpaduan Melayu dan Islam, jawapanya ialah berpadu tidak semestinya dalam UMNO dan belum sampai darurat untuk PAS dan UMNO bersatu. Nampak sangat PAS ingin berkuasa. Ya memang PAs inginkan kuasa, dari tiada lebih baik ada. Walaupun berkerjasama dengan DAP, PAS terpaksa simpan sekejap soal negara Islam dan hudud, tetapi dengan kuasa yang sedikit itulah PAS mampu berbuat sesuatu. Pembinaan tempat sembahyang di pasar malam yang jauh dari surau serta kawalan terhadap hiburan melampau adalah antara usaha kecil PAS dalam kerajaan Selangor.

Kempen bulan sembahyang dan pemberian air percuma kepada rakyat miskin serta tanah kepada rakyat terbanyak pula adalah jasa PAS antaranya dalam kerajaan Perak. Semua ini tidak dapat dilakukan oleh BN sebelumnya.Usah dilihat di Kelantan yang PAS boleh perintah sendirian, sudah tentu lebih hebat tindakan PAS. Walaupun PAS terpaksa menyimpan hudud dan negara Islam buat sementara waktu untuk berkerjasama dengan DAP, tapi itu sahajalah jalanya untuk PAS berkuasa. Bersendirian tentu sekali amat sukar. PAS punya banyak pengalaman bersendirian. Dalam keadaan populasi yang majmuk, bersenderian adalah langkah tidak cerdik. Apatah lagi PAS memandang kehadapan dengan mengintai kerajaan pusat. Tentunya kerjasama erat diperlukan.
Dan kerjasama dengan mereka yang diketahui sifatnya adalah lebih baik dari yang berpura-pura.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama