Pengikut Setia - Terima Kasih

Jumaat, 7 Ogos 2009

Proaktif kawal penjualan arak

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) merujuk kepada cadangan untuk mengehadkan penjualan alkohol di Selangor. Sejak itu ada banyak sekali bantahan. Antara pandangan yang diberikan ialah langkah ini akan menjejaskan undi dalam pilihan raya akan datang dan ia adalah tidak adil kepada bukan Islam.

CAP menggesa semua pihak supaya bersatu dengan memberikan tumpuan kepada alasan kesihatan dan sosial yang memerlukan tindakan untuk diambil bagi mengehadkan penjualan dan mencegah pengambilan berlebihan. Keadaan ini amat kritikal terutama apabila ia membabitkan golongan remaja. Kini sudah pun ada beberapa laporan mengenai remaja mengambil alkohol, malah dengan mudah dapat memperolehnya.

Bahaya berkaitan alkohol sudah pun diketahui umum � potensinya yang menjejaskan kesihatan serta dikaitkan dengan insiden kemalangan jalan raya, kerosakan harta awam, pembunuhan, kemiskinan serta pelbagai gejala sosial lain.

Lebih dua juta penduduk di seluruh dunia mati setiap tahun disebabkan alkohol. Bahaya penggunaan alkohol ialah menjadi faktor risiko utama bagi kematian pramatang dan kecacatan di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah pun bekerja ke arah inisiatif global untuk memerangi penggunaan alkohol.

Sistem pelesenan bolehlah digunakan di mana penjualan alkohol hendaklah dihadkan kepada beberapa kedai arak berlesen yang terletak jauh daripada kawasan perumahan dan kawasan rekreasi keluarga. Kedai serbanika seperti 7-Eleven dan kedai runcit seharusnya tidak dilesenkan untuk menyimpan stok minuman beralkohol. Alkohol juga tidak seharusnya dihidangkan di tempat makan untuk keluarga dan kawasan rekreasi.

Tindakan juga perlu diambil untuk mengawal pengiklanan alkohol yang begitu agresif. Cukai ke atas minuman beralkohol perlu ditingkatkan lagi. Arak murah seperti samsu (yang sering mengandungi alkohol yang tinggi) dan 'minuman ringan' beralkohol juga perlu diharamkan.

SM MOHAMED IDRIS,
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama