Pengikut Setia - Terima Kasih

Isnin, 10 Mei 2010

Jual saham arak hanya jika untung?



Perkeso memeli saham arak ketika dibawah pemerintahan Pak Lah Islam Hadhari

Perkeso akan lupus saham dalam syarikat Carlsberg
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2010/05/11

Pertubuhan tunggu tawaran berpatutan elak pencarum rugi

PUTRAJAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melupuskan pegangan sahamnya di dalam syarikat minuman keras Carlsberg Brewery Malaysia Berhad (Carlsberg), sekiranya harga yang ditawarkan adalah berpatutan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Selvarajah.

Katanya, beliau juga sudah diberi mandat oleh Lembaga Pengarah untuk melupuskan saham itu tetapi ia bergantung kepada keadaan pasaran semasa.

“Saham ini (Carlsberg) dibeli secara berperingkat-peringkat pada 2005 kerana dividen yang diterima adalah tinggi dan menguntungkan.

“Bagaimanapun, setahun selepas itu panel penasihat pelaburan memutuskan melupuskan pegangan saham dalam syarikat minuman keras itu, namun keadaan pasaran tidak mengizinkan kami berbuat demikian ketika itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Selvarajah berkata, keadaan diburukkan lagi apabila kemelesetan ekonomi yang melanda negara pada 2008 menyebabkan harga saham merosot.

Justeru, katanya, Perkeso terpaksa mengambil langkah berhati-hati sebelum melupuskan saham Carlsberg itu, bagi mengelakkan pencarum menanggung kerugian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan pihak tertentu yang mahu Perkeso, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, itu menarik balik pelaburannya dalam syarikat minuman keras Carlsberg.

Malah, Perkeso juga diminta memberi penjelasan berhubung pembabitannya sebagai pemegang saham dalam syarikat berkenaan memandangkan 90 peratus kakitangannya dan sebahagian besar pencarumnya adalah beragama Islam.

Difahamkan laporan tahunan Perkeso bertarikh 25 Februari lalu, mencatatkan agensi itu mempunyai sebanyak 2,155,700 saham dalam Carlsberg, menjadikannya sebagai pemegang saham yang kelima terbesar daripada 30 syarikat.

Sehubungan itu, Selvarajah meminta semua pihak tidak mensensasikan isu terbabit berikutan ia adalah isu lapuk dan Perkeso sendiri sudah lama memutuskan untuk tidak terbabit dalam syarikat seumpama itu.

Nota -

Mengapakah Perkeso tidak meneliti terlebih dahulu sebelum membeli saham tersebut? Bukankah semasa itu Malaysia dibawah Islam Hadhari?
Mengapa perlu tunggu harga naik? Dimanakah majlis fatwa kebangsaan? dimanakah D. Khir Baharom? dimanakah TS Harus Sani?

Bukankah ketika perintah arak diturunkan, semua sahabat bertindak memcahkan dan membuang arak dalam simpanan mereka sehingga mengalir bagaikan sungai? Mengapa perlu tunggu untung?


PERSOALAN berhubung pengharaman arak dibahaskan oleh ilmuwan Islam sejak dulu lagi. Ulama sepakat di dalam menghukum bahawa meminum arak adalah haram di sisi hukum syarak.

Pengharaman arak sebenarnya dilakukan secara berperingkat melalui penurunan empat ayat al-Quran iaitu:



Ayat 67, surah al-Nahl.

Firman Allah bermaksud: “Dan daripada buah tamar dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman haram dan rezeki yang baik, sesungguhnya pada yang demikian itu ada satu tanda bagi orang yang mahu menggunakan akalnya.”

Ayat ini diturunkan ketika di Makkah di mana di dalam ayat itu Allah belum lagi menjelaskan pengharaman arak dan masih boleh diminum ketika itu.


Ayat 219, surah al-Baqarah.

Firman Allah bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya..."

Ayat kedua ini menjelaskan perbezaan di antara baik dan buruk arak. Ia juga menjelaskan bahawa dosa arak adalah lebih besar daripada manfaatnya.


Ayat 43, surah an-Nisa'.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu bersembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan..."

Ayat ketiga ini pula melarang umat Islam ketika itu meminum arak tatkala hampir waktu untuk bersolat. Perkara ini berlaku kerana imam sembahyang ketika itu dikatakan telah tersalah membaca ayat al-Quran kerana berada dalam keadaan mabuk. Maka turunlah ayat ketiga di atas.


Ayat 90, surah al-Maidah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan."

Ayat keempat ini mengharamkan arak secara sekali gus. Jumhur fuqaha mengharamkan arak disebabkan ia adalah najis dan memabukkan.

Ayat ini adalah dalil yang putus mengenai pengharaman meminum arak.

Ayat terdahulu walaupun dilihat sebagai mengharuskan penggunaan arak, namun seseorang Muslim hendaklah mengetahui ilmu al-Quran sebelum mengistinbat (mengeluarkan) hukum daripadanya.

Al-Quran tidak boleh ditafsirkan mengikut logik akal semata-mata kerana banyak kaedah yang perlu dihayati di dalam kita mencapai sesuatu hukum.

Mengkaji al-Quran memerlukan ilmu yang mendalam dalam bidang usul fiqh, kaedah fiqh dan sebagainya.

Dengan hanya membaca terjemahan dan tafsir al-Quran yang diterjemahkan tidak dapat membantu sepenuhnya di dalam memahami kehendak al-Quran itu sendiri.

Penguasaan bahasa Arab yang kuat juga dapat membantu memahami ayat al-Quran dalam erti kata sebenar. Bahasa al-Quran itu sebenarnya penuh dengan gaya bahasa yang tinggi dan seni yang amat menakjubkan.

Sebenarnya dengan turunnya ayat yang keempat di atas, ayat yang terdahulu telah dimansuhkan dari segi hukumnya. Ini bermakna kesan hukum ayat terdahulu tidak boleh dipakai lagi kerana ia telah dimansuhkan oleh ayat yang keempat di atas.

Pengharaman arak dibuat secara berperingkat ketika zaman Rasulullah SAW kerana masyarakat Arab ketika itu agak sukar meninggalkan arak yang sudah menjadi adat kebiasaan mereka.

Sekiranya arak diharamkan secara sekali gus tentulah amat menyukarkan orang Arab menerima Islam ketika itu dan Islam tidak akan berkembang. Inilah kehebatan hukum hakam Islam yang mengambil kira faktor adat dan budaya sesuatu kaum itu.

Namun, aplikasi hukuman berperingkat-peringkat seperti ini tidak boleh dibuat lagi ketika ini kerana hukum meminum arak ini telah diputuskan dengan turunnya ayat keempat itu.

Sebagai perbandingan dengan undang-undang semasa, apabila sesuatu undang-undang itu dipinda, apakah kita boleh mengikut undang-undang yang lama atau undang-undang yang baru?

Begitulah juga keadaannya di dalam isu pengharaman arak ini. Hukuman yang terkini ialah arak itu haram dan hukuman ini telah memansuhkan hukuman lain yang menyatakan arak itu ada sedikit manfaat dan sebagainya.

INTI PATI

Ulama sepakat di dalam menghukum meminum arak haram di sisi hukum syarak


Pengharaman arak sebenarnya dilakukan secara berperingkat melalui penurunan empat ayat al-Quran


Pengharaman arak dibuat secara berperingkat kerana masyarakat Arab ketika itu agak sukar meninggalkan arak yang sudah menjadi adat kebiasaan mereka


Sekiranya arak diharamkan secara sekali gus tentulah amat menyukarkan orang Arab menerima Islam ketika itu dan Islam tidak akan berkembang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama