Pengikut Setia - Terima Kasih

Rabu, 7 Oktober 2009

Isa Samad hina kecerdikan pengundi Bagan Pinang


Isa Samad berkata, kalau pengundi Bagan Pinang tidak mengundinya tetapi undi PAS, bermakna orang itu tak sihatlah. (gila/tidak waras/tidak siuman/sakit mental?)

Menurut Mohd Isa, hanya orang tak sihat yang tidak nampak apa yang kerajaan BN sudah buat sejak merdeka.

“Orang tu juga tak sihat kalau dengar cakap PAS yang kata saya tak buat apa-apa dan banyak projek tak siap masa saya jadi Menteri Besar,” ujarnya.

Ketika berucap di Sawah Sunggala malam Isnin, beliau berkata penduduk di situ beruntung kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan dan menteri lain termasuk Exco kerajaan negeri datang merayu undi untuk beliau.

“Hebat tuan puan dekat sini. TPM, MB dan Exco datang merayu undi, kalau tak undi saya juga, bermakna tuan puan ada yang tak sihat. Kalau tak sihat, nanti saya doakan supaya sembuh” ujatnya.

Kaedah Isa berkempen bersahaja diselang seli lawak tetapi tutur katanya cukup pedih jika masuk telinga pembangkang.

Dua malam lalu, beliau menggambarkan pemimpin PAS sebagai jin yang datang mengacau di Bagan Pinang.

“Jin ini kita kena semah (buang atau cuci). Lepas pilihanraya jin-jin hilang entah ke mana, masa ada pilihanraya, mereka muncul cakap macam-macam,” kata mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Malam tadi katanya, orang PAS pun kokok berderai-derai tetapi ekor penuh tahi maka janganlah nak tuduh orang BN atau UMNO semuanya jahat dan buruk.

Malah, PAS juga ujarnya hendak buat kerja Tuhan apabila hendak menentukan syurga dan neraka.

“Kasihan orang Arab tak dapat masuk syurga kerana mereka tak masuk PAS,” sindirnya.

Mohd Isa berkata, rakyat negara ini akan duduk aman tenteram selagi tidak termakan hasutan pembangkang.

Sebelum itu ketika menghadiri sambutan Aidilfitri anjuran Kesatuan Pekerja-Pekerja awam Angkatan Tentera Malaysia (Kesatria) dan Kelab Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan Negeri Sembilan di Dewan Orang Ramai Bagan Pinang, beliau menegur kakitangan awam yang menentang kerajaan.

Katanya, kerajaan bukan milik orang politik tetapi penjawat awam yang melaksanakan dasar ditentukan pemimpin politik.

Sebab itu katanya, jika kakitangan awam terlalu mengkritik kerajaan, bermakna mereka kritik diri sendiri.

“Kalau tak sokong kerajaan, macam main bola sepak masuk gol sendirilah,” katanya.

Kritikan ujarnya tidak salah asalkan bertujuan membaiki kelemahan tetapi bukan sehingga menyokong atau mengundi pembangkang dalam pilihanraya.

Menurutnya kerajaan tidak seperti pembangkang yang hanya tahu menyalahkan itu ini.

“Ceramah pembangkang semua senang...dari awal hingga akhir tak cakap benar. Mereka ini bukan gokongan yang bersyukur. Sebab itu, kita jangan salah pilih kerajaan hingga buang yang baik,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu menempelak pembangkang yang tiada idea dengan berterusan menyerang peribadinya sejak awal kempen pilihanraya Bagan Pinang.

Katanya, sudah jadi sikap pembangkang yang hanya memandang sesuatu perkara itu betul jika ianya memihak kepada mereka.

Berbaki kira-kira lima hari lagi, Mohd Isa yakin memenangi kerusi DUN Bagan Pinang kerana kempen ‘Jalan-Jalan Cari Undi’ olehnya sudah nampak signal atau cahaya untuk menang.

Walaupun penat kerana banyak program dari awal pagi hingga larut malam, beliau masih gagah dan bersemangat berkempen.

“Badan tak penat tapi mata mengantuklah,” katanya ketika disapa Agendadaily bertanya keadaannya sejak hari penamaan calon Sabtu lalu.- 5/10/09

p/s - Apapun maksud sebenar TS Isa, perkataan tidak sihat adalah tidak wajar dugunakan kerana mengundang perbagai tafsiran. Apatah lagi apabila mengundi melibatkan akal fikiran, maka tidak sihat boleh juga dieertikan tidak waras. Pernah seorang kawan saya berasa sangat meluat dan tercabar dengan slogan BN iaitu, Hanya Satu Pilihan - Barisan Nasional. Slogan ini adalah slogan rasmi BN semasa PRU ke 12 lalu. Beliau yang merupakan seorang profesional kejuruteraan, berkata slogan BN tersebut seolah-olah kita bodoh benar sehingga tidak boleh berfikir dan hanya membuat satu pilihan tanpa memikirkan perbagai pertimbangan. Jika soal slogan boleh timbulkan kemarahan terutama yang bergelar profesional, apatah lagi jika dikata tidak sihat kerana tidak menyokong BN.

5 ulasan:

  1. Sangat tidak sihat si Isa ni.Melihat gambar-gambar projek pembangunan terbengkalai disekitar port dickson dan teluk kemang meyakinkan kita bahawa isa memang tidak sihat.

    BalasPadam
  2. "kesian orang arab x msk syurga sbb x msk pas"..ada ke ptt ckp camtu.cam orng x tau pape je bila berkata-kata sedemikian.knp la krng cerdik sngt orng yg berkata-kata sedemikian..kesian2

    BalasPadam
  3. Ya, jika benar dia bertutur dan bermaksud sedemikian, memang tidak patut..

    tetapi, adakah wajar pemimpin PAS dan Pakatan mengatakan (sebagai contoh Dr Lo' Lo'):-

    "Antara maruah dan rasuah, pengundi Bagan Pinang telah terpilih rasuah. Ini satu kemalangan,”

    Azmin pula kata:

    "UMNO perlu membuat persiapan awal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 dengan menonjolkan barisan calon-calon UMNO di kalangan perasuah kerana itulah cita rasa rakyat Malaysia."

    Jika TS Isa salah berkata-kata, seharsunya pihak satu lagi menunjukkan contoh yang baik.. bukan begitu?

    Sekadar pandangan yang tidak seberapa...

    ~ OnDaStreet

    BalasPadam
  4. Terima kasih atas komen saudara..

    Saudara Ondastreet,
    cuba fikirkan jenis jenis hukuman umno kepada pengamal politik wang@rasuah.

    1. Isa Samad didapati bersalah, dilucutkan daripada jawatan Naib Presiden paling kanan, diberhentikan dari menjadi Menteri Wilayah, digugurkan dari menjadi ketua bahagian dan digantung keahlian dari UMNO.

    2. Sahabat Isa, Ali Rustam, didapati bersalah, tidak dibenarkan bertanding jawatan yang lebih tinggi dari Isa iaitu Timbalan Presidwn UMNO, tetapi tidak perlu letak jawatan sebagai K Melaka, tidak digantung keahlian dan boleh pegang pula terus mengatuai UMNO bukit Katil.

    3. Khairy Jamaludin, didapati bersalah, boleh bertanding dan menang jawatan Ketua Pemuda umno.

    4. Datuk Norza, didapati bersalah dan didakwa dimahkamah, tidak dibenarkan bertanding.

    Jadi, bagaimana sekarang? Isa Samad masih tidak ddakwa dimahkamah dan tidak dibersihkan oleh mana-mana mahkamah.. tuduhan rasuah dan hukuman dilakukan oleh umno.. umno lah yang mengatakan Isa samad rasuah, Isa Samad tidak bersih hanya dengan menjalani hukuman umno, ia perlu dihadapkan di mahkamah terbuka.

    Mengapa pertikai kenyataan Dr LoLo dan Azmin, mengapa tidak kenyataan Dr Asri Zainal Abidin?

    BalasPadam
  5. Saudara,
    sebagaimana yang saya katakan, kenapa PAS yang berimej lebih Islamik tidak menunjukkan contoh yang lebih baik? Kalau orang terjun longkang, takkanlah kita nak terjun sekali. Bukan begitu?

    Dan ya, UMNO juga dianggotai muslim melayu, tetapi kalau mereka gagal, takkanlah PAS pun nak ikut sama.

    Itu maksud saya, wahai sahabatku. :)

    Atau saudara suka umat Islam berlumba siapa yang lagi buruk dan hodoh? Begitu?

    Dan saudara, sekali lagi.. cuba baca betul-betul ayat pertama saya - "Ya, jika benar dia bertutur dan bermaksud sedemikian, memang tidak patut.."

    Adakah ayat ini menunjukkan saya bersetuju dengan tindakannya? Ya? Tidak?

    ~ OnDaStreet
    htttp://ondastreet.wordpress.com

    BalasPadam

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama