Pengikut Setia - Terima Kasih

Selasa, 6 Oktober 2009

Berapa nilai wang anda?


Kesan kemelesetan ekonomi terus dirasai, akibatnya nilai wang yang diperolehi setiap bulan menyusut. Walaupun hakikatnyan gaji atau pendapatan seseorang meningkat disebabkan kenaikan gaji tahunan atau lebihan pendapatan lain, tetapi dalam masa yang sama jumlah pendapatan tidak mampu menandingi nilai keperluan yang meningkat.

Harga barang keperluan sering meningkat dan hampir pasti tidak turun. RM 10 adalah tidak memadai untuk perbelanjaan satu hari. Malah jika ditambah dengan tambang pengankutan awam, RM 10 adalah terlalu sedikit. Seorang suri rumah juga tidak mampu untuk hanya berbelanja dengan hanya RM 10. Seorang lulusan ijasah sarjana muda yang baru graduat, mungkin boleh memperolehi pendapatan sekitar RM 2000. Tetapi untuk membayar ansuran kereta kerana perkhidmatan pengankutan awam yang masih lemah dan tidak menyeluruh, sewa rumah atau bilik, makan minum sekurang-kurangnya RM 15-20 sehari, minyak, tol, insuran, HP dan lain-lain, RM 2000 hanya cukup untuk individu itu sendiri sahaja.

Jika individu itu ingin berkeluarga, beliau perlu mencari rumah lain yang sesuai, yang tentulah sewanya lebih mahal berbanding dari menyewa bilik sahaja. Malah banyak perbelanjaan lain meningkat dengan mendadaknya. Oleh yang demikian adalah sukar kehidupan berkeluarga dengan hanya satu sumber pendapatan. Peningkatan kos sara hidup individu tadi tidak mendapat pembelaan sesiapapun, sama ada majikan si individu itu ataupun pihak kerajaan. Berkeluarga adalah pilihan sendiri, tidak berkeluarka pula jika umur semakin lewat adalah fenomena tidak sihat.

Maka pilihan ramai adalah memilih pasangan yang berkerja atau pasangan tersebut mesti bekerja. Namun, ini juga tidak lama apabila rezeki anak mulai hadir. Kos sara hidup juga meningkat dari segi kelengkapan barangan bayi sehinggalah kepada kos penjagaan bayi yang tinggi. Kehadiran cahaya mata adalah satu rahmat dan sering ditunggu-tunggu,ia tidak boleh sama sekali dianggap sbagai punca kesempitan wang atau beban malah pihak kerajaan sendiri menyediakan peruntukan bagi meningkatkan reproduktif bagi mereka yang tidak mempunyai anak serta menyasarkan jumlah penduduk sehingga 70 juta pada tahun 2020 yang bakal menjadi modal insan negara. Bak kata Anwar Sadat bekas Presiden Mesir, yang menjadi aset Mesir bukanlah Terusan Suez ataupun Piramid, tetapi generasi muda Mesir yang akan mencorakkan Mesir.

Malam tadi dalam rancangan Hujah di TV 9, penganalisis ekonomi Dato. Salleh Majid memberi satu contoh mudah bagaimana gaji seorang akautan lima tahun dulu sekitar RM 2000.00 dibandingkan dengan harga sebuah rumah yang juga keperluan. Sedang gaji akauntan hanya meningkat kurang dari tiga ribu bagi tempoh lima tahun, harga rumah yang selesa meningkat dengan begitu pantas sekali.

Oleh yang demikian,jika individu berkeluarga ingin mencari kediaman yang selesa buatnya, adalah hampir mustahil untuk dimiliki tanpa mempunyai pasangan yang berkerja. Walaupun mempunyai pasangan bekerja, rata-rata ramai penduduk Malaysia masih punya masalah kewangan, sama ada disebabkan kenaikan kos hidup yang menyeluruh ataupun ketidak upayaan menguruskan kewangan secara berhemah. Oleh itu sering sekali rakyat Malaysia dilihat terlibat dalam usaha-usaha untuk menambahkan pendapatan. Usaha-usaha ini tentu sekali baik, tetapi yang tidak sedapnya apabila ia menjejaskan produktiviti di tempat kerja hakiki dan keharmonian kekeluargaan. Bila ianya melibatkan kekeluargaan, maka pertamanya ialah peningkatan kes-kes sosial akibat kurang perhatian dan kasih sayang dari ibu bapa terhadap anak-anaknya, malah suami isteri itu sendiri.

Statistik menunjukkan peningkatan terhadap penubuhan syarikat yang menawarkan program - program bersifat skim cepat kaya, dan ramai pula yang menyertainya, baru-baru ini kesatuan pekerja sektor awam memaklumkan ramai anggota tentera yang terlibat dalam pelaburan yang kabur. Pelaburan diperolehi dari pinjaman dan keuntungan adalah tidak memadai, selain itu ada juga yang terpaksa melakukan dua kerja sama ada bersambung selepas waktu kerja hakiki ataupun dua kerja dalam satu masa dengan melibatkan diri dalam perniagaan sampingan. Aktiviti ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan tetapi meningkatkan masalah lain seperti soal hubungan suami isteri, anak dan sosial. Penakiri sendiri tidak sampai hati untuk mengadap komputer menulis artikel untuk membiarkan anak yang tentunya memerlukan perhatian, samada menemaninya bermain, atau membacakanya buku. Bayangkan seawall 6.30 pg si anak telah dihantar ke pengasuh dan selewat 6.30 ptg pula baru diambil. Masa yang ada adalah begitu singkat sekali bila ditolak masa berehat,solat, makan dan tidor. Apakah ada masa untuk sianak? bagaimana pula masa itu harus dicuri pula untuk menambahkan pendapatan keluarga dengan melibatkan diri dalam kerja lebih masa. Tetapi ada pula yang berkata, berkorban sekarang demi masa depan yang lebih cerah.

Dalam soal ketidak upayaan menguruskan kewangan secara berhemah, pihak kerajaan telah mengambil langkah untuk membantu antaranya dengan penubuhan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan AKPK, rancangan TV meningkatkan nilai wang anda dengan nasihat-nasihat yang berguna serta penubuhan Jabatan Insolvensi untuk membantu mereka yang menghadapi masalah kemuflisan. Tetapi ini masih tidak cukup dan kesannya tidak menyeluruh, setakat mengajar pengurusan kewangan terutama bagi mereka yang bermasalah tidak cukup tanpa ada satu usaha besar untuk mengurangkan kadar kos sara hidup. Berbalik kepada anak sebagai penyeri kepada sesebuah keluarga, individu yang baru berkeluarga dan memperolehi anak kecil terpaksa membelanjakan RM 250-350 untuk urusan penjagaan anak, belum lagi kos kain lampin pakai buang, susu dan rawatan kesihatan. Anak kecil juga sering meragam dan memerlukan pemeriksaan berjadual. Tentu sekali ini meningkatkan jumlah cuti yang diambil malah kadang kala menyebabkan gaji dipotong bagi sesetengah organisasi. Walhal setiap anak yang dilahirkan adalah aset negara dan bakal modal insan.

Pihak kerajaan menyarankan pihak swasta menyediakan TASKA bagi membolehkan ibu bekerja menghantar anak kesana dengan kos minimum, tetapi apa peranan pihak keajaan sendiri? Kerajaan memang ada menyediakan TASKA dan Permata Negara dibeberapa buah tempat, tetapi masih terlalu besar ruang yang tidak dipenuhi. Jika kerajaan sendiri bersungguh menubuhkan TASKA seperti mana TADIKA KEMAS, atau pusat jagaan Permata Negara yang bersistematik tentu sekali beban sara hidup terutama yang berkeluarga akan berkurangan.
Dalam usaha mengurangkan beban rakyat lagi, terutama dibandar, pihak kerajaan perlu mengambil alih konsesi lebuhraya yang berlingkar mengaut wang dari poket rakyat setiap hari. Penafian kerajaan untuk tidak mengambil alih PLUS sedangkan sebelum ini dikatakan kajian telah dibuat cukup menghampakan. Penakiri mencadangkan agar kerajaan mengambil alih konsesi lebuhraya dengan mengekalkan bayaran tol, tetapi dikurangkan sehingga 50% bagi tidak membebankan kerajaan dalam soal pengurusan yang dikatakan mencecah sehingga RM 1 juta sehari bagi lebuhraya PLUS sahaja. Rakyat tentu rasiaonal dan tidak meminta dihapuskan terus tol, kerana faham akan kos pengurusan yang tinggi. Rakyat tidak mahu PLUS berubah menjadi seperti Jalan Kuching yang tidak lagi bertol dan kualitinya turun mendadak atau MRR II yang dibina tanpa tol tetapi tidak diurus dengan baik. Rakyat mahu melihat PLUS diurus seperti IJN tetapi berpatutan. Pengurangan kadar tol sebanyak 50% tentu sekali mengurangkan beban rakyat dalam banyak sektor, selain dari segi individu, kadar tambang dan kos penghantaran juga boleh diturunkan.

Selain itu projek perumahan mampu milik dan sederhana perlu diperbanyakan, kerajaan mesti memainkan peranan penting membantu memperbanyakan projek-projek tersebut . Menyediakan perumahan yang murah dan selesa kepada rakyat dapat memberikan kesan baik bukan sahaja kepada keluarga yang terlibat, tetapi dalam pembangunan negara itu sendiri. Kerajaan juga harus mengambil langkah mengurangkan cukai kepada mana-mana barang atau perkhidmatan yang banyak atau menjadi keperluan rakyat. Pemberian subsidi seperti air percuma oleh kerajaan Selangor, harus diperluaskan diseluruh negara, malah bekalan elektrik percuma ala air di Selangor boleh diperluaskan kepada golongan yang berpendapatan rendah dan golongan yang mempunyai tangung jawab yang banyak. Makanan sebagai sumber kehidupan juga harus dijamin murah. Langkah-langkah memperbanyakkan penghasilan makanan dan membina syarikat kerajaan bagi membolehkan harga makanan dikawal perlu dilakukan segera. Rakyat juga masih menanti perjalanan menaik taraf pengankutan awam yang diwar-warkan, maka dengan itu projek puluhan billion ini haruslah disegerakan. Dan akhir sekali sesuatu yang paling tidak boleh dilupakan ialah memerangi rasuah dengan bersunguh-sungguh. Inilah satu punca yang menyebabkan kepada peningkatan kos pada hari ini yang seterusnya mengecilkan nilai wang kita.
Jika ini dapat dilakukan, maka tidak perlu gaji dinaikan, dan tidak perlu peruntukan gaji minimum. Cukuplah apabila ringgit kita bernilai.

3 ulasan:

  1. dulu burger rm2 dah bleh dpt. tp skang, agak payah. mungkin dlm rm3.50 ke atas bru dpt basic burger.

    mcm tu gak nasi. jgn hrp 10kg rm30 ke bwh mcm dulu.

    BalasPadam
  2. mahal betul makanan sekarang.. roti jala kuah kosong dua keping dah RM 1. Makan tengah hari dengan air paling kurang RM 5..

    BalasPadam
  3. dalam tahun 2003 makan nasi campur
    nasi putih + ayam @ keli baru Rm2.50.
    Hari ni RM3 pun x leh dpt. Semalam makan nasi + keli RM3.80!

    BalasPadam

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama