Pengikut Setia - Terima Kasih

Isnin, 6 September 2010

Perkara 153 - Tolong jangan pertikaikan!

Kempen Perlembagaanku telahpun mendapat laporan polis yang pertama dari mereka yang menggelarkan diri sebagai Kelab Graduan 1Malaysia. Kami dituduh mengajar rakyat bahawa perlembagaan boleh dipinda jika memilih ahli parlimen yang ingin memindanya. Perkara ini sebenarnya tidak perlu diajar kerana pemindaan perlembagaan memang berlaku. Cuba tanya pihak kerajaan, siapa yang pinda perlembagaan bagi membenarkan Singapura keluar dari Malaysia?

Sebenarnya orang-orang Melayu sering ditakutkan dengan kehilangan apa yang dikatakan sebagai hak istimewa orang Melayu iaitu Perkara 153.

Perkara 153 adalah tajuk yang paling panas untuk diperkatakan ketika ini. Semalam (5.9.2010) Dr Shamrahayu Abd. Aziz menulis bahawa Perkara 153 adalah Hak Keistimewaan orang Melayu. Saya yakin rencana tersebut ditulis bagi menjawab rencana yang ditulis oleh YB Nurul Izzah Anwar iaitu Malaysia atau Malaysaja.

Nurul Izzah walaupun didalam rencana tersebut berkata beliau tidak mewakili parti politik sebalinya sebagai anak Malaysia sebenar yang patriotik, tetapi realitinya beliau adalah ahli parlimen dari parti pembangkang dan ironisnya pula anak kepada pemimpin utama pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim.

Manakala Dr Shamrahayu pula merupakan seorang pensyarah undang-undang dari UIA yang sering dirujuk Utusan Malaysia sebagai Pakar perlembagaan. Saya sering melihat keyataan Dr Syamrahayu yang kontra berbanding bosnya Prof Dr Aziz Bari. Oleh itu bolehlah dikatakan Dr Shamrahayu seorang ahli akedemik undang-undang yang agak pro kerajaan.

Perdebatan dua wanita ini bertambah menarik kerana kedua-duanya adalah Melayu dan menjadikannya lebih mudah ditangani kerana tidak boleh dituduh perkauman.

Saya yakin, Nurul Izzah menulis dan mengajak PERKASA untuk berwacana dengan perasaan ikhlas bagi merungkai perkara ini. Saya juga yakin bahawa Dr Shamrahayu pula munulis dengan perasaan untuk mempertahankan Perkara 153 berdasarkan sejarah dan keadaan semasa orang-orang Melayu kini.

Nurul Izzah mengatakan Perkara 153 adalah satu Kedudukan Istimewa orang Melayu dan bukannya Hak Istimewa orang Melayu. Manakala Dr Shamrahayu pula mengatakan ianya adalah satu Hak Keistimewaan dan turut mendakwa ianya adalah satu Hak Asasi bagi orang Melayu dan Bumiputera. Bagi saya kedua-duanya betul, kerana tafsiran ini adalah tafsiran individu dan bukannya tafsiran mahkamah. Setiap orang boleh memberikan pandangan mereka asalkan tidak tersasar jauh dari kerangka perlembagaan itu sendiri.

Berdasarkan dokumen perlembagaan, memang jelas tertulis yang Perkara 153 adalah satu Kedudukan Istimewa untuk orang-orang Melayu dan Anak negeri Sabah dan Sarawak. Ianya bukanlah satu Hak Keistimewaan. Ianya boleh menjadi hak keistimewaan apabila ianya dibaca bersama-sama sejarah pembentukan Negara ini iaitu dari sudut kontrak sosial.

Apatah lagi apabila imigran Cina dan India yang hampir sejuta orang pada masa itu yang dikenali didalam perlembagaan sebagai kaum-kaum lain terus mendapat kerakyatan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, sedangkan orang-orang Melayu sebagai indigenous di Tanah Melayu hanya dijamin kedudukan Istimewa disisi perlembagaan. Jaminan yang belum tentu diberi, sering dipertikaikan pula.

Pengorbanan orang-orang Melayu sangat besar. Daripada komposisi mereka sebanyak 90 peratus, dengan kaedah jus soli mereka hanya tinggal 60 peratus sahaja. Ini bukan soal ekonomi semata seperti yang difahami oleh kebanyakan pihak, ini kerana jika orang-orang Melayu tidak menerima konsep jus soli pada masa itu, dengan kuasa 90 peratus di Parlimen, mereka boleh merencana ekonomi mereka sendiri dengan lebih baik.

Perlembagaan dibuat oleh Suruhanjaya Reid dengan menerima pandangan dari pelbagai pihak terutamanya Perikatan. Perlu jelas disini, jika mahu, suruhanjaya Reid tidak perlu menerima tuntutan Perkara 3 dan 153 jika tidak kerana ada satu sebab yang besar.

Sebabnya ialah dengan konsep jus soli, beban British dalam menyelesaikan masalah pendatang yang dibawa masuk dari China dan India selesai sekelip mata. Mengikut sejarah, British memang berusaha untuk membawa pendatang ini kembali ke Negara asal mereka, tetapi tidak lagi diterima oleh kerajaan asal mereka selain mereka sendiri tidak mahu pulang kerana kehidupan yang payah di tanah air sendiri. Dengan itu, untuk memujuk pemimpin Melayu pada waktu itu beberapa perkara penting seperti Perkara 3, 152 dan 153 dimasukkan didalam perlembagaan perseketuan.

Mengapa Pertikai Perkara 153?


Sejak akhir-akhir ini banyak pihak termasuk kaum Melayu yang mempertikaikan Perkara 153 walupun mereka turut mendapat manfat daripadanya. Tapi tidak kedenganran pula anak negeri Sabah dan Sarawak berbuat demikian.

Untuk memastikan keadaan harmoni Malaysia berterusan, eloklah Perkara ini tidak dipertikaikan, kerana ini merupakan asas perlembagaan dan Negara ini. Seperti yang saya sebutkan, tanpa Perkara 153, mungkin perlembagaan gagal untuk mencapai kata persetujuan dan Malaysia gagal dibina. Kita mesti ingat, walupun kita mungkin tidak bersetuju dengan Perikatan pada masa itu, tetapi kegagalan Perikatan bermaksud kemungkinan tebentuknya Negara Melayu Raya yang dipromosikan oleh pemimpin pembangkan seperti Dr Burhanudin al- Helmi dan Pak Sako. Barang diingat, dunia Melayu dipecahkan oleh British melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang memisahkan Malaysia dan Indonesia serta Perjanjian Inggeris - Siam 1909 yang memisahkan Selatan Thailand dan Malaysia. Jika Melayu Raya berjaya bermakna tiada kerakyatan untuk pendatang,tiada Malaysia yang keadaan ekonomi, geografi dan politiknya paling stabil dirantau asia!

Bagi orang Melayu yang merasakan diri mereka kini hebat, tidak perlu lagi bergantung kepada tongkat. Perasan tidak pernah menerima apa-apa kemudahan atau kelebihan dari Dasar Ekonomi Baru atau fikir apa yang mereka dapat selama ini betul-betul kerana meritokrasi kerana kepintaran dan kelayakan mereka, hentikanlah! Saya yakin orang seperti Dato’ Zaid Ibrahim dan Tan Sri Khalid Ibrahim juga adalah antara professional yang berjaya kerana Perkara 153!

Kepada YB Nurul Izzah, anda lahir dalam keluarga bangsawan. Dato’ Ibrahim bekas Setiusaha Kementerian Kesihatan dalam kabinet YM Tunku, Dato’ Wan Ismail bekas setiausaha kerja UMNO. Ketika anda baru dua tahun, Anwar Ibrahim sudah bergelar Tim. Menteri. Mungkin tiada Perkara 153 tidak apa bagi anda, tetapi sebagai wakil rakyat yang pengundi anda ramai terjerat dalam kemiskinan bandar, fikirkanlah hak mereka yang merempat dibumi sendiri. Saya fikir pendekatan DSAI mengenai isu ini lebih praktikal.

Saya ingin bertanya kepada mereka yang kini tidak bersetuju dengan Perkara 153 apakah ianya mengambil hak anda? Kaum-kaum lain yang sangka mereka bayar cukai lebih banyak telah dinafikan hak? Jika ianya berlaku, bukan salah Perkara 153, tetapi pihak yang sedang memegang amanah sekarang iaitu pihak kerajaan. Mereka inilah yang mempergunakan Perkara 153 untuk kepentingan sendiri dan menyebabkan ianya dipandang jelek.

Saya juga berpendapat, bahawa Perkara 153 kita tidak harus meminggirkan hak kaum lain, membiarkan kaum lain yang miskin dan merempat tanpa dibantu adalah salah dan zalim, kerana ini bukan sahaja tidak perikemanusian, juga tidak Islamik. Tidak perlulah orang kaya membeli banglow turut mendapat diskaun 7%!

Saya juga tidak mengatakan DEB satu perkara yang baik dan perlu diteruskan, tetapi jujur ianya banyak membantu. Profesional Melayu meningkat dengan mendadak, penyertaan Melayu dalam sektor ekonomi lebih kelihatan. Bagi saya dari kita pertikaikan Perkara 153 lebih baiklah kita memohon YDPA yang memang jelas disebut sebaga pihak yang perlu bertanggungjawab tentang Perkara 153 menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat, mengaudit DEB dan mencari jalan terbaik satu dasar yang boleh membantu lebih ramai bumiputera secara menyeluruh tanpa pula meminggirkan hak rakyat yang lain, dan yang penting mencari jalan supaya Perkara 153 tidak disalah gunakan oleh mereka yang tamak dan berkepentingan.

p/s- Jika ditanya pada saya - " Fyrol awak perlukan tongkat?" Jawapan saya ialah, ya saya rasa saya tidak perlukannya, tetapi masih ramai yang perlukan tongkat tersebut. Saya disini kesan dari tongkat tersebut juga. Lagipun dah ada peruntukan, bukan senang nak dapat, macam peruntukan Askar Timbalan Setia di Johor dan kuasa Imigresen di Sabah dan Sarawak. Jika kita buang keistimewaan tersebut, takkan boleh kita perolehinya semula!

3 ulasan:

  1. salam,

    lama dah meneypi ya ?

    selamat hari raya aidil fitri.

    BalasPadam
  2. Salam, biasalah sibuk..yang nipun siap pukul 4 pagi..apa khabar?

    Selamat Hari Raya!

    BalasPadam
  3. salam pena kiri.
    Maaf lambat memberi ulasan, baru terjumpa blog penakiri. Cuma ingin berkongsi beberapa perkara. Pertama, berkaitan dr. shamrahayu. Saya belajar
    undang2perlembagaan dengan dr. Shamrahayu semasa di universiti dulu. pada pendapat saya
    dr. shamrahayu bukan penyokong mana-mana parti politik. saya fikir pendapat beliau adalah berdasarkan kepada pengetahuan dan perspektif beliau mengenai isu-isu berkaitan. saya berpendapat begini kerana semasa di dalam syarahan2 beliau, ada kalanya beliau juga tidak bersetuju dengan sesetengah tindakan atau polisi kerajaan. Tetapi pendekatan belaiu lebih kepada membina kefahaman, bukan pendekatan politik. satu lagi, prof. aziz bari bukan bos dr. shamrahayu. dalam profesion akademik, tiada siapa yang boleh jadi bos kepada sesiapa. setiap ahli akademik mempunyai fikrah atau pendapat mereka sendiri. Sepanjang pengetahuan saya, dr. sham tidak pernah belajar perlembagaan dengan aziz bari, prof aziz bari adalah senior dr. sham semasa di uia. dr. sham batch k 5 uia dan dr. aziz batch ke2 kalau tak silap saya. Setahu saya guru perlembagaan dr. sham ialah prof. ahmad ibrahim dan dr. sham pernah belajar daripada prof. ghouse, seorang profesor dari India.
    Perkara kedua ialah mengenai hak keistimewaan melayu.Saya pernah membaca tulisan prof aziz di dalam bukunya Politik Perlembagaan, lihat ms 240, prof aziz menulis bahawa...perkara berkaitan keistimewaan melayu tidak boleh dimansuhkan. prof aziz juga menggunakan istilah hak-hak keistimewaan Melayu. Dlm muka surat 243, prof aziz bertanya, apakah ada perbezaan antara hak orang-orang Melayu dan hak istimewa orang-orang Melayu? Belaiu menajwab, Perlembagaan tidak membezakan kedua-dua istilah tersebut..belaiu menambah, apabila disebut hak istimewa, maksudnya tidak semua orang mempunyai hak itu. sebelum itu Prof aziz menyebut, menurut undang-undang, hak selalunya dilihat sebagai sesuatu perkara kalau yang memelikinya dinafikan maka hak itu boleh dituntut melalui mahkamah. Dengan it jika satu pihak mempunyai hak maka di pihak yang lain, wujud tanggungjawab. Sebagai pengamal undang-undang, saya fikir, melihat kepada kenyataan2 Prof Aziz sekarang, dia sebenarnya telah mengubah pendirian, dan kebanyakan kenyataan beliau berunsur pemahaman politik, bukan lagi plainly Perlembagaan. Pengamatan saya, prof aziz telah dirijuk oleh akhbar sebagai penganalisis politik. Persoalannya, adakah Prof aziz adalah politikal saintis. Saya fikir beliau adalah orang undang2, bukan orang political science. Itu saja pendapat saya. Terima kasih. dan wallahu'alam.

    BalasPadam

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama