Pengikut Setia - Terima Kasih

Khamis, 2 September 2010

Melayu dan kedudukanya dalam Perlembagaan Perseketuan.

Oleh : Fyrol Ikram Othman

Rencana saya yang pertama untuk kempen perlembagaanku, iaitu Antara Perlembagaan dan Gunung Kinabalu telah diterbitkan dan mendapat beberapa komen, satu komen yang ingin saya ulas disini ialah komen yang diberi oleh seorang yang bernama Huurun Ein. Komen beliau ialah “interpretasi Perlembagaan berbeza mengikut kepentingan individu.walau bagaimanapun Perlembagaan itu menjaga kepentingan kaum Melayu kerana tertubuhnya Perlembagaan Persekutuan selepas Tanah Melayu merdeka dari penjajah British.”

Itulah sebenarnya yang selalu saya dengar, orang-orang Melayu dijamin haknya didalam perlembagaan. Perkara ini biasanya disebut sebagai ketuanan Melayu. Ramai orang memperkatakannya, tetapi apakah sebenarnya yang dikatakan perlembagaan menjamin hak Melayu? Apakah hak tersebut dan siapakah yang dikatakan sebagai Melayu?

Didalam perlembagaan perseketuan, terdapat beberapa perkara berkaitan orang Melayu yang disebut, sama ada sebutan tersebut merujuk kepada orang Melayu itu sendiri atau secara kepentingan umum. Antaranya ialah soal keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, tanah simpanan Melayu dan kemasukan khas orang-orang Melayu ke dalam Rejimen Askar Melayu. Ini adalah contoh sebutan yang merujuk kepada orang Melayu, manakala yang berkaitan umum ialah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan iaitu bahasa untuk semua warga perseketuan dan bahasa rasmi bagi perseketuan. Perkara umum lain ialah Raja-raja Melayu yang merupakan Raja bagi negeri yang diperintahnya dan boleh pula menjadi YDPA iaitu Ketua Utama bagi perseketuan.



Menurut perlembagaan, dalam Perkara 160(2) iaitu bahagian tafsiran, orang Melayu ditakrifkan sebagai seorang yang beragama Islam, bertutur Bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) atau di Singapura atau pada hari merdeka, serta bermastautin di Persekutuan atau di Singapura. Tafsiran ini, sebenarnya hanya mengambil kira keadaan politik di Malaysia. Tentulah orang Melayu di Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand serta lain-lain bahagian didunia ini juga adalah Melayu walaupun tidak menepati maksud perlembagaan Malaysia. Dalam Perkara 3, Islam adalah agama perseketuan, tetapi Perkara 160 tidak pula member takrif mengenai Islam, samaada Islam itu Melayu atau tidak. Ini kerana kita sering mendengar jika seseorang memeluk Islam, maka ia dikatakan telah masuk Melayu.

Tafsiran perlembagaan ini boleh yang menyebabkan seseorang itu menjadi Melayu sekiranya mengikut adat dan bercakap didalam bahasa Melayu dan Islam pula agamanya. Tafsiran ini juga akan menyebabkan seseorang itu menjadi tidak Melayu apabila keluar dari agama Islam. Bagaimana pula dengan ramainya orang-orang anak Melayu yang kini tidak lagi mengikut adat istiadat Melayu? Pernah KIMMA, sebuah pertubuhan politik kaum India Muslim meminta taraf Melayu dan bumiputera. Ini kerana mereka adalah seorang Islam, bertutur dalam bahasa Melayu walaupun mungkin tidak semasa dirumah dan mengamalkan adat budaya Melayu dengan memakai baju Melayu dan bersongkok. Adakah mereka boleh dikira Melayu? Tentu sekali ya jika berdasarkan kepada longgarnya tafsiran ini.

Kedudukan Istimewa Orang Melayu

Apa yang dikatakan sebagai hak istimeawa orang Melayu ialah merujuk kepada Perkara 153 iaitu Tanggungjawab YDPA untuk memastikan rezab bagi orang Melayu & bumiputera Sabah & Sarawak dengan memperuntukkan kadar bilangan jawatan dalam perkhidmatan awam persekutuan, biasiswa,danasiswa, pendidikan, latihan, perniagaan dan kemudahan khas lain yang diberikan pada kadar yang difikirkan munasabah oleh YDPA . Walau bagaimanapun, YDPA sebagai raja berperlembagaan hendaklah tertakluk kepada peruntukan Perkara 40, iaitu bertindak atas nasihat Jemaah Menteri. Selain itu perkara ini juga tidak mengurangkan Perkara 136 iaitu layanan saksama bagi pekerja perseketuan.

Dalam menjalankan tanggungjawab ini, YDPA menurut Perkara 153 (4), (8) dan (9) tidak boleh mengambil hak mana-mana orang dari mendapat pendidikan,biasiswa, jawatan awam dan perniagaan dengan alasan perizaban untuk keistimewaan bumiputera tersebut. Selain itu Perkara 153 juga menyebut menjadi tangungjawab YDPA untuk menjaga hak dan kepentingan kaum-kaum lain yang sah. Oleh yang demikian, nasib dan hak kaum-kaum lain tidak terjejas menurut perlembagaan.

Selain dari Perkara 153, perlembagaan perseketuan juga menjamin perizaban tanah untuk orang-orang Melayu melalui Perkara 89 iaitu Tanah Simpanan Melayu dan Perkara 90 pula pula berkenaan dengan peruntukan khas yang berhubung dengan tanah adat di Negeri Sembilan, Melaka dan tanah pegangan Melayu di Terengganu. Ini membenarkan kerajaan menurut perlembagaan mewujudkan tanah simpanan hanya untuk kegunaan orang-orang Melayu sahaja.

Terdapat satu perkara lagi yang berkaitan dengan orang Melayu, iaitu Perkara 8 (5 (f)) mengenai pengecualian kesamarataan bagi kemasukan kedalam Rejimen Askar Melayu Diraja yang pengambilannya untuk orang-orang Melayu sahaja. Ini juga menunjukan satu keistimewaan kepada orang Melayu.

Bagi memastikan hak keistimewaan orang Melayu ini terjamin dari dipinda oleh badan perundangan, maka dalam bahagian ke IV bab yang ke dua, Perkara 38 menjelaskan Majlis Raja-raja hendaklah dirunding sebelum apa-apa perubahan yang menyentuh tindakan pentadbiran Perkara 153, dan Perkara 150(6A) pula menjamin kedudukan hukum Syarak , adat Melayu,undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah dan Sarawak serta apa-apa perkara berhubungan dengan agama, kewarganegaraan, dan bahasa semasa berlakunya darurat.

Perkara 10 (4) pula melarang mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 dan 181. Melainkan berhubung dengan perlaksanaannya.

Walau bagaimanapun, perlembagaan berkali-kali menyebut yang kebebasan agama, kesamarataan, kebolehan menggunakan bahasa lain dan jaminan hak orang lain keatas pendidikan, perniagaan dan kerjaya tidak tergugat atas alasan keistimewaan orang Melayu tersebut.

Berdasarkan kepada huraian diatas, memang benarlah Melayu dan Bumiputera mempunyai kelebihan didalam perlembagaan. Selain Melayu yang disebut sebanyak 54 kali, Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak juga turut disebut. Namun tidak ada kaum-kaum lain seperti Cina walaupun mewakili 23.7 % penduduk Malaysia, tiada juga tentang kaum India dan kaum Siam yang baru-baru ini diiktiraf sebagai Bumiputera oleh Dato’ Seri Nazri Aziz.

Untuk memahami mengapakah perlembagaan kita ditulis sebegitu rupa, kita wajib untuk merujuk kepada sejarah. Sekurang-kurangnya sepuluh tahun sebelum merdeka. Pembentukan perseketuan Tanah Melayu bermula pada tahun 1948 iaitu setelah kegagalan pembentukan Malayan Union pada tahun 1946. Apakah maksudnya perseketuan? Perseketuan Tanah Melayu ialah gabungan negerei-negeri Melayu di semenanjung Tanah Melayu. Negeri-negeri ini yang asalnya telah pun mempunyai kerajaannya sendiri, terutamanya Sembilan negeri beraja. Sebelum merdeka terdapat tiga kategori negeri-negeri Melayu iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat.

Perlembagaan kita telah digubal oleh Suruhanjaya Reid setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak terutamanya Perikatan yang juga dikenali sebgai Pakatan Murni pada masa itu. Perlembagaan kita turut mengambil kira sejarah dan tradisi rantau ini bagi memastikan kestabilan politik dan sosial pada masa depan. Ini kerana unsur tradisi ini telah wujud ratusan tahun sebelum 1957. Ianya selalu disebut sebagai kontrak sosial. Iaitu satu pra perjanjian sebelum pemimpin Melayu pada waktu itu bersetuju dengan syarat British supaya orang-orang Cina dan India diberi kerakyatan.

Oleh kerana pemimpin terdahulu yang melibatkan pelbagai kaum telah bersetuju dengan perkara ini, maka wajib kita generasi sekarang menjunjung perlembagaan ini seperti mana yang ditekankan oleh Perkara 4 iaitu Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

Dasar Ekonomi Baru & Kronisme

Selepas tamat belajar di kolej, saya membantu abang saya menjalankan perniagaannya di Melaka Sentral. Perniagaan yang beliau ceburi ialah berkaitan telefon gengam. Ini merupakan cawangan beliau yang kedua. Jiran kedai, seorang Cina yang menjual makanan ringan dan surat khabar. Saya memang selalu berbual dengannya kerana beliau merupakan satu-satunya pekedai yang berani menjual Suara Keadilan dan Harakah.

Tetapi ada perkara yang ingin saya ceritakan, iaitu tentang kenyataan Cina tersebut kepada saya. Beliau berkata kami orang Melayu untung kerana dibantu kerajaan dalam menjalankan perniagaan, merujuk kepada kedai abang saya.

Itulah tangapan biasa bukan Melayu kepada orang Melayu, lebihlebih lagi selepas tragedy 13 Mei yang melahirkan DEB. Sedangkan kedai yang dibuka abang adalah hasil titik peluhnya sendiri, kami juga membayar sewa kedai yang mahal. Tidak ada pengecualian. Dan yang paling perit ialah bersaing dengan Cina yang terlebih dahulu terlibat dalam industri ini. Kami biasanya mendapat bekalan dengan harga yang agak mahal dari pemborong Cina. Berbanding dengan pesaing kami, yang juga Cina mereka biasanya mendapat bekalan dengan harga yang murah dan ini menybabkan kami gagal untuk memberikan harga yang sama seperti yang ditawarkan oleh pesaing kami. Kami sering dianggap dibantu oleh kerajaan, saya merasakan seolah-olah ada perasaan tidak puas hati terhadap usahawan bumiputera seperti kami.

Jika diikut pada perlembagaan, tentu sekali kami mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu. Tetapi perelembagaan itu telah lama diselewengkan. Jika tidak masakan sasaran untuk mencapai 30% ekuti bumiputra tidak tercapai sejak tahun 1970? Menurut Prof. Dr Jomo ketika mengulas RMK10 ekuiti bumiputra tidak akan tercapai kerana tiada insentif untuk mengekalkan pengangan mereka. Beliau turut mendakwa Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir adalah orang yang memulakan amalan memberi saham bumiputra kepada segelintir elit Melayu.

Mereka ini biasanya dikenali sebagai UMNOPUTRA. Terdapat juga kes dimana anak-anak orang kaya diberi biasiswa atasa alasan bumiputra, tetapi masih ramai anak orang kebanyakan yang tidak mendapat biasiswa, sebaliknya hanya pinjaman PTPTN. Terdapat juga kes ibu bapa terpaksa membuat pinjaman peribadi berkali-kali bagi menampung anak yang menyambung belajar di Ukrane dalam bidang perubatan setelah kolej tempatan tidak lagi mampu menampung jumlah pelajar yang semakin ramai layak dan berminat. Mungkin kita tidak percaya ada pelajar Melayu, dari keluarga sederhana, belajar perubatan tidak mendapat apa-apa biasiswa walaupun dari MARA. Tetapi ini satu realiti.

Kita juga dapat melihat bagaimana kontrak-kontrak kerajaan diberi kepada kroni-kroni dan orang-orang UMNO tanpa melihat kelayakan dan pengalaman mereka dalam menjalankan kerja-kerja tersebut.Hasilnya kita dapat melihat satu skandal yang amat memalukan iaitu pada tahun 2005 apabila hampir semua makmal komputer sekolah runtuh menyembah bumi. Belum lagi kita mengambil kira projek terbengkalai, stadium runtuh, AP dan sebagainya. Masyarakat umumnya melihat ini merupakan satu kegagalan para kontraktor Melayu. Tetapi apa yang berlaku sebenarnya ialah amalan kronisme dan dasar apartheid.




Mungkin ianya terlalu kasar. Tetapi inilah yang berlaku, ramai anak bumiputra yang masih terpinggir, tetapi mereka yang rapat dengan pimpinan tertinggi negara mendapat faedah yang besar. Mereka bukan sahaja terdiri dari orang-orang Melayu elit, tetapi juga cukong-cukong Cina dan segelintir India. Mereka ini yang dipercayai turut menyumbangkan dana semasa pilihan raya untuk pihak tertentu.
Ini adalah persepsi umum rakyat. Kita dapat melihat bagaimana putarannya. Yang berkuasa menganugerahkan projek, yang mendapat projek kemudianya memberikan undi dan bantuan untuk penguasa mengekalkan kuasa.

Maka tidak hairanlah ramai anak Melayu professional sekarang merasa malu apabila dikaitkan dengan keistimewaan Melayu ini atau biasa juga dipanggil sebagai tongkat. Tapi dalam masa yang sama masih ramai anak Melayu diluar bandar terutamanya masih ketinggalan memerlukanya. Betul kata Huurun Ein, perlembagaan ditafsirkan berbeza-beza atas kepentingan individu. Dana yang besar hasil dari cukai rakyat dikeluarkan atas semangat perlembagaan untuk membantu bumiputra, tetapi tafsiran bumiputra disempitkan kepada segelintir orang yang berkepentingan.

2 ulasan:

  1. salam fyrol...hang patut tulis sikit2...buat bahagian 1, 2,3...ngantuk aku baca...
    apapun, aku link blog ngko dengan debatapasaja.blogspot.com...
    salam ziarah

    BalasPadam
  2. Terima kasih sudi membaca, teguran tu betul..insyaAllah nanti saya postkan sikit2..bila mula menulis tak sedar pnjang kemain..hehehe

    BalasPadam

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama