Pengikut Setia - Terima Kasih

Ahad, 12 Disember 2010

LoyarBorak #3 (Bhg. 1) — Perlembagaan: Pornografi, Moraliti & Undang-Undang 13 December, 2010

By Fyrol Ikram Othman and Aston Paiva

LoyarBorak-1

LoyarBorak memaparkan diskusi pelbagai isu dalam format bertulis, video, atau audio.

Tidak lama dahulu, dua ahli Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Aston Paiva dan Fyrol Ikram Othman telah berdebat melalui e-mel. Debat mereka merangkumi pelbagai isu. Walaupun kedua-dua mereka tidak bersetuju dengan pendapat satu sama yang lain, mereka tetap menghormati pendapat yang diutarakan, mendukung prinsip kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah bahagian 1 daripada 6 bahagian. Pembaca dijemput berborak bersama melalui ruang komen di bawah. Jika anda ingin menjadi seorang LoyarBorakker, sila e-mel Marcus di marcus.van.geyzel@gmail.com

From the Jakarta Globe

Source: Jakarta Globe

Fyrol:

Yang mengancam orang Islam ialah siaran tv dan internet lucah yang berleluasa. Kita lihat hasilnya sekarang.

Aston:

Saya tidak bersetuju dengan saudara Fyrol.

Saya menyokong hak orang untuk menonton video porno dan saya percaya bahawa jika seseorang itu tidak suka kepada apa yang sedang ditayangkan, dia hanya perlu memadamkan peti televisyennya.

Kerajaan mesti memainkan peranan yang teramat kecil di dalam apa-apa isu yang melibatkan moraliti. Ini kerana soalannya adalah “Moraliti berdasarkan piawaian siapa?” (Morality on whose standards?)

Beberapa minggu yang lalu saya telah berjumpa dengan seorang aktivis kesihatan daripada negara Filipina yang memberitahu saya bahawa kondom tidak dapat dijumpai di mana-mana kedai di negara Filipina kerana moraliti Kristian telah diserapkan ke dalam pentadbiran Kerajaan.

Adalah sebab inilah mengapa moraliti agama tidak boleh dijadikan sumber pentadbiran Kerajaan. Jikalau kami tidak boleh secara saintifik atau secara objektifnya menunjukkan bahawa video porno menyebabkan lebih banyak jenayah berlaku, maka tidak terdapat sebarang justifikasi untuk mengharamkan atau melarangnya.

Fyrol:

Saya bercakap dari sudut persoalan tentang perkara yang mengancam orang Islam kini, merujuk kepada tindakan PERKASA yang membantah persembahan drama Kristian di dewan SCC Shah Alam.

Dalam Islam, pornografi ini sesuatu yang haram, samada kerana melihat aurat orang lain atau dari sudut merangsang keinginan seseorang yang kemudiannya menyebabkan seks bebas. Lihat hasilnya: pembuangan bayi berleluasa.

Saya juga tidak setuju jika anda ingin memisahkan agama dari kerajaan.

Jika anda gemar akan pornografi, atas apa tujuan sekalipun termasuk menganggapnya sebagai satu seni atau sains, terpulanglah, tetapi dari sudut seorang Islam, mazhab apa sekalipun ianya sesuatu yang haram dan salah disisi agama.

Aston:

Saya memang tidak mempertikaikan bahawa melihat aurat orang lain dan dengan itu pornografi adalah bertentangan dengan Islam.

Tetapi isunya sekarang saudara Fyrol adalah – adakah satu ‘perkara yang bertentangan dengan Islam‘ harus dijadikan prinsip/undang-undang am, di mana kesemua golongan dan lapisan masyarakat (termasuk yang bukan Islam) harus menurutinya?

Akan terdapat orang yang tidak bersetuju dengan pendirian bahawa menglihat aurat orang lain adalah salah. Akan terdapat juga orang Islam sendiri yang mungkin tidak akan bersetuju.

Perkara seperti ini saudara Fyrol adalah amat subjektif untuk dijadikan prinsip atau undang-undang am.

Saudara telah menyatakan bahawa terdapat satu pertalian di antara pornografi, seks bebas dan buang bayi.

Tetapi saudara tidak mempunyai/menunjukkan apa-apa kajian atau penyelidikan yang menunjukkan bahawa adalah pornografi yang menyebabkan kes buang bayi, maka pernyataan saudara hanyalah merupakan satu anggapan.

Fyrol:

Memang orang bukan Islam tidak perlu menurut apa-apa Hukum Islam apatah lagi apabila Negara ini tidak mengamalkan sepenuhnya hukum Islam. Walau bagaimanapun kita tidak harus menafikan sesuatu yang baik yang diajar oleh Islam, dan kebaikan itu pula sesuai untuk semua. Saya merasakan adalah tidak salah untuk sesuatu yang baik, dari mana-mana agama pun diambil sebagai asas moral.

Saudara Aston perlu ingat, Rukun Negara yang pertama ialah kepercayaan kepada Tuhan. Oleh itu kerajaan ini berhak meletakan agama sebagai asas dalam pentadbirannya.

Namun demikian, saya tidak mengatakan adalah satu kewajipan untuk bukan Islam untuk dipaksakan menurut hukum Islam. Tetapi yang pastinya seseorang Islam pula perlu patuh kepada peraturan Islam seperti mana kita mahu rakyat Malaysia mematuhi Perlembagaan.

Aston:

Oleh kerana itulah Saudara Fyrol, sesuatu prinsip, moraliti ataupun aspek akidah tidak boleh dipetik daripada Al-Quran untuk dijadikan Undang-Undang Am (general law) sebab dengan berbuat demikian akan terdapat, secara nyata ataupun tersirat, pemaksaan undang-undang Islam ke atas orang bukan Islam.

Itu jelas bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang turut menyatakan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Mengenai isu moraliti agama saya tidak setuju. Apa-apa undang-undang yang digubal haruslah berdasarkan kajian dan penyelidikan yang sepenuhnya mengenai sesuatu masalah yang ingin ditangani. Undang-undang mesti berdasarkan fakta-fakta dan keterangan-keterangan (facts and evidence) yang diperolehi daripada hasil penyelidikan dan kajian tersebut.

Kita tidak boleh semata-mata membuka satu teks agama dan memetik undang-undang agama sebagai asas untuk menyelesaikan masalah yang dialami oleh masyarakat pada zaman ini.

Pemikiran manusia serta suara hati (conscience) manusia telah berubah dengan banyaknya sejak zaman Nabi-Nabi dahulu kala dan kita perlu menganalisi masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia sekarang berdasarkan pemahaman dan ilmu kami pada masa kini.

Mengenai Rukun Negara, prinsip pertama tidak memestikan siapa-siapa untuk percaya kepada Tuhan. Rukun Negara itu bukannya satu undang-undang. Kemoralan itu, saudara Fyrol, tidak semestinya datang dari agama. Kemoralan itu boleh datang dari suara hati seseorang itu. Sebenarnya, saya percaya tanpa suara hati seseorang individu, Agama tidak akan wujud.

Apabila kami membaca sejarah, kami akan mendapati bahawa terdapat banyak orang yang tidak percaya kepada Tuhan tetapi telah memberikan banyak kebaikan dan ilmu kepada masyarakat; Bertrand Russell, Francis Crick, Stephen Fry, Jawaharlal Nehru dan Tariq Ali antara lain.

Rencana di atas merupakan pandangan peribadi penulis-penulis yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Majlis Peguam Malaysia yang pada masa ini sedang menganjurkan Kempen PerlembagaanKu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kempen ini, ikuti kami di laman web ini.

Ini adalah bahagian 1 daripada 6 bahagian LoyarBorak #3. Ikuti bahagian-bahagian berikutnya setiap Isnin & Khamis di blog ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama