Pengikut Setia - Terima Kasih

Rabu, 19 Oktober 2011

HUKUMAN SEBAT SYARIAH DI SABAH: PENGKRITIK PERLU DIBANTU!

AURAT TERTUTUP KETIKA SEBATAN

Posted by ERAKITA di 20 Oktober 2011

AURAT TERTUTUP KETIKA SEBATAN

20 Oktober 2011

Perlaksanaan hukuman sebat yang pertama ke atas pesalah jenayah syariah di Penjara Kepayan pada 10 Oktober 2011 lalu berjalan lancar dan begitu tertib. Pesalah disebat di tempat dan bangunan yang sama di mana pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah yang disabitkan di Mahkamah Awam dijalankan. Pesalah tersebut berpakaian hijau lengkap yang menutupi aurat disebat di bahagian belakang sebanyak 5 kali dengan sebatan yang “cukup sederhana”.

Pesalah disebat dalam keadaan berdiri dan tidak bergari. Mukanya dihadapkan ke hadapan sambil dipegang oleh pegawai pengawal agar pesalah tidak memalingkan mukanya ke kiri atau kanan atau ke belakang ketika sebatan dilakukan. Ia dilakukan bagi mengelak dari terkena sebatan di bahagian sensatif seperti muka jika muka digerakkan ke kiri atau kanan atau ke belakang. Cukup mendebarkan suasana itu.

Ketika disebat, baju pesalah masih dipakai di tubuhnya. Aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut. Sebatan dalam keadaan pesalah berbaju mempunyai kelebihan tersendiri. Di samping menutup aurat, pakaian tersebut sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa sakit semasa disebat.

Sesiapa yang menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat itu “PASTI” bersetuju bahawa sebatan tersebut TIDAK MENYAKITKAN. Jauh sekali dari apa yang digembar-gemburkan oleh ramai orang. Salah seorang pegawai penjara sempat melontarkan pandangan peribadinya dengan mengatakan “hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah 100 peratus berbeza dengan hukuman sebat ke atas pesalah jenayah yang disabitkan di Mahkamah Awam”. Melihat dengan kepala mata sendiri akan pelaksanaan hukuman tersebut, ERAKITA amat bersetuju dengan pandangan peribadi pegawai berkenaan.

ERAKITA pernah menyaksikan pelaksanaan sebatan di penjara melalui rakaman video ketika melawat ke gerai pameran penjara di perkarangan bangunan RTM Kota Kinabalu beberapa tahun lepas. Kedashyatan sebatan secara konvensional itu sukar digambarkan dengan kata-kata. Sekali sebatan ke atas punggung pesalah yang tidak ditutup dengan kain sudah cukup untuk mengundang laungan kesakitan dengan suara kuat dari pesalah. Bagi yang Islam, laungan “Allahu Akhbar” jelas kedengaran dari pesalah setiap kali “sebatan menggerunkan” itu hinggap di punggung pesalah.

Pendek kata, sebatan ke atas pesalah jenayah syariah dilakukan secara holistik dan berhemah. Nilai-nilai akhlak jelas terserlah dari tukang sebat sendiri mahupun di pihak pesalah sendiri. Dalam suasana penuh debaran untuk disebat, maruah dan aurat pesalah masih terpelihara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama

Catat Ulasan