Pengikut Setia - Terima Kasih

Selasa, 15 Jun 2010

Serlahkan Kecintaan terhadap Bahasa Kebangsaan dengan Menggunakan Istilah Bahasa Melayu

oleh- Mohd Isa Abd Razak (25 November 2009)


Bahasa kebangsaan kita berkembang begitu pesat. Perkembangan itu ketara dari segi penciptaan istilah. Kini bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu, mempunyai hampir sejuta istilah. Pengguna bahasa Melayu menggunakan istilah itu dalam pelbagai ranah ilmu.

Kita memang tidak perlu mengetahui, apalagi mengingat, semua istilah itu. Namun, kita perlu mengetahui istilah yang lazim digunakan agar kita dapat menggunakan istilah yang betul sama ada dalam komunikasi lisan atau tulisan. Antara istilah yang lazim itu termasuklah yang berkaitan dengan perniagaan, perhubungan dan nama tempat.

Ada banyak sumber untuk kita mengesan istilah dalam sesuatu bidang. Antara sumber itu termasuklah kemudahan rujukan yang terdapat di laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selain itu, kita dapat pula mengesan beberapa banyak istilah dalam blog guru Bahasa Melayu. Antara blog itu termasuklah blog Witra.

Dalam blog Witra terdapat dua masukan yang memaparkan 58 istilah daripada bahasa Inggeris dan padanannya dalam bahasa Melayu. Masukan pertama memaparkan 23 istilah dan masukan kedua memaparkan 35 istilah. Terdapat beberapa ulasan oleh beberapa orang pengunjung bagi setiap masukan.

Di bawah ini ialah 20 istilah yang saya petik daripada blog itu.

1. anjung kopi (coffee terrace)
2. bas ulang-alik (shuttle bus)
3. bilik acu (fitting room)
4. bual maya (virtual chat)
5. jualan perabis (clearance sale)
6. kem bina diri (summer camp)
7. kira detik (countdown)
8. lamin kopi (coffee house)
9. latar pentas (back-drop)
10. megapura (megamall)
11. nirplag (unplugged)
12. pelancongan desa (homestay)
13. peristirahatan (lounge)
14. pinggir air (waterfront)
15. pisang sejoli (banana split)
16. pramusaji (waiter/waitress)
17. persantaian (resort)
18. teratak desa (homestead)
19. terjun lelabah (bungee jumping)
20. ujana teh (tea garden)

Saya percaya kebanyakan kita sudah biasa menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris. Saya juga termasuk dalam golongan pengguna bahasa yang lebih banyak menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris berbanding dengan padanannya dalam bahasa Melayu.

Misalnya, saya biasa menyebut back-drop. Jarang benar saya menggunakan istilah latar pentas sedangkan saya memang tahu bahawa back-drop itu ialah latar pentas. Seingat saya, semua rakan sekerja saya dahulu menggunakan istilah back-drop.

Ketika menjadi penjawat awam, saya kerap tinggal di hotel dan resort. Bagi kata resort, kalau adapun, hanya sekali dua sahaja saya menyebut persantaian. Hal ini berlaku kerana hampir semua tempat itu memang bernama resort.

Bagi waterfront, baru kini saya mengetahui padanannya ialah pinggir air. Dahulu, saya dan rakan-rakan hanya menggunakan istilah waterfront apabila berada di Kuching dan beberapa kota yang ada tempat pinggir air. Kini, saya akan berusaha menggunakan istilah pinggir air pula.

Pada hemat saya, pihak yang berkenaan wajar menggunakan istilah dalam bahasa Melayu seperti persantaian, peristirahatan, pinggir air dan megapura. Kita tidak dapat mengharapkan pengguna bahasa Melayu menggunakan istilah ini jikalau pihak yang berkenaan terus menggunakan istilah Inggeris. Apabila mereka menggunakan istilah bahasa Melayu bagi nama tempat, bangunan dan sebagainya, mahu tidak mahu kita akan terlazim dengan istilah dalam bahasa Melayu.

Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti mempunyai semangat cinta akan negara kita. Antara cara kita menyerlahkan kecintaan terhadap negara adalah dengan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua ranah komunikasi. Kita perlu berusaha menggunakan bahasa Melayu yang baku, sopan dan indah. Antara caranya termasuklah menggunakan istilah dalam bahasa Melayu seperti yang terdapat dalam senarai yang di atas.

Sumber: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/11/serlahkan-kecintaan-terhadap-bahasa.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama

Catat Ulasan