Pengikut Setia - Terima Kasih

Selasa, 8 Jun 2010

Antara Perlembagaan dan Gunung Kinabalu







Antara Perlembagaan dan Gunung Kinabalu
oleh Fyrol Ikram

Perlembagaan Persekutuan kini acapkali disebut-sebut oleh banyak pihak. Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) semasa Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor mengatakan mereka akan menyokong sesiapa sahaja yang menyokong dan mendokong Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut memberikan salinan Perlembagaan Persekutuan kepada sesiapa yang dilihat menentang kewujudan mereka. Hindraf pula, semasa melakukan demonstrasi terbesar kaum India membawa sepanduk tentang Perkara 10 yang memberikan hak untuk berhimpun.

Tindakan ini diambil setelah pihak polis secara bersungguh-sungguh bertindak menghalang perhimpunan tersebut. Begitu juga pihak-pihak yang menentang PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ). Mereka berkata dasar ini bercanggah dengan Perkara 152 berkenaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Kitab Perlembagaan Persekutuan turut diselak bagi menyelesaikan krisis politik Negeri Perak. Isu di Negeri Perak bermula dengan sama ada keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri sah atau tidak apabila mengosongkan tiga kerusi Adun lompat, sama ada Sultan berhak atau tidak memecat Menteri Besar dan melantik Menteri Besar baru tanpa dibawa ke Dewan Undangan Negeri dan apabila Menteri Besar sedia ada telah memohon Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Melihat kepada isu-isu ini, maka bertepatan sekalilah untuk Kempen PerlembagaanKu oleh Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan yang ditubuhkan dibawah naungan Majlis Peguam Malaysia ini dijalankan. Kempen ini bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia dan memberi kesedaran tentang Perlembagaan Persekutuan

Ini mengingatkan aku tentang peristiwa dua tahun lalu, selepas Pilihan Raya Umum 2008, aku yang baru melangsungkan perkahwinanku memilih Sabah sebagai tempat untuk berbulan madu. Sabah, negeri di bawah bayu merupakan sebuah negeri yang cantik dan menarik. Harta yang paling tidak ternilai yang dimiliki oleh Sabah ialah Gunung Kinabalu.

Gunung Kinabalu merupakan gunung yang tertinggi di Borneo, Malaysia. Maka tidak hairanlah Gunung Kinabalu dijadikan sebagai lambang pada bendera Negeri Sabah.

Aku tinggal selama seminggu di Sabah. Menginap di sebuah pangsapuri di Lok Kawi. Aku menyewa sebuah kenderaan sebagai medium pengangkutanku. Setiap hari kami pasti akan ke Kota Kinabalu.

Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah merupakan sebuah bandar yang besar dan bersih. Dari Kota Kinabalu, kita pasti akan dapat melihat puncak Gunung Kinabalu yang tersergam indah, lebih-lebih lagi jika cuaca baik dan pada awal pagi.

Berbekalkan peta, aku memandu ke Gunung Kinabalu. Aku meluangkan masa selama dua hari untuk bersiar-siar di sekitar Gunung Kinabalu. Kami pergi ke Kundasang, Ranau dan dan air panas Poring yang juga masih sebahagian dari Taman Negara Kinabalu. Selain itu aku turut melawat Sabah Tea.

Gunung Kinabalu betul-betul telah menjadi satu kemegahan warga Sabah. Malah Taman Negara Kinabalu juga telah diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco sejak tahun 2000 lagi. Oleh yang demikian Gunung Kinabalu juga merupakan satu kemegahan untuk setiap warga Malaysia.

Bagi aku setiap warganegara perlu mengetahui dan menghargai sebelum dapat mencintai Gunung Kinabalu. Walaupun seseorang itu bukan berasal dari Sabah atau Kepulauan Borneo, tetapi sebagai warga Malaysia kita wajib mengambil tahu dan bebangga dengannya. Setiap warga perlu tahu di mana gunung ini berada, berapa ketinggiannya dan bagaimana sejarahnya.

Dengan ini pastilah gunung ini dan taman negaranya akan lebih dihargai dan dijagai. Begitulah juga dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia seperti mana Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Malaysia.

Seperti mana juga Gunung Kinabalu yang boleh dilihat dimana-mana dari Kota Kinabalu, Perlembagaan Persekutuan juga sepatutnya begitu. Perlembagaan Persekutuan harus sentiasa dapat dilihat dalam hati dan sikap setiap warga.

Kita tidak perlu menjadi seperti Profesor Aziz Bari atau Profesor Shad Saleem Faruqi untuk tahu mengenai Perlembagaan, cukuplah kita mengetahui tentang beberapa perkara penting terutamanya yang berkaitan dengan diri kita sebagai seorang warga persekutuan.

Ini kerana Perlembagaan Persekutuan merangkumi hampir semua aspek kehidupan rakyat Malaysia, daripada kebebasan asas untuk bergerak kepada hak untuk kerajaan yang dipilih melalui proses pilihan raya.

Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen utama yang memberi makna kepada kita semua sebagai satu bangsa dan memelihara dasar pemerintahan demokratik.

Oleh kerana setiap rakyat Malaysia berhak mendapat manfaat daripada daripada janji keperlembagaan dan pemerintahan demokratik yang terkandung di dalamnya, maka setiap rakyat Malaysia harus dilengkapi dengan pengetahuan dan kefahaman tentang Perlembagaan.

Untuk memahami dengan lebih lanjut dan baik, kita juga wajib mengetahui sejarah dan semangat bagaimana perlembagaan ini dibentuk. Dengan ini kita akan lebih merasai hidupnya Perlembagaan itu sebagai tiang seri negara ini.

* Rencana di atas merupakan pandangan peribadi penulis. Penulis juga merupakan ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Majlis Peguam Malaysia yang pada masa ini sedang menganjurkan Kempen PerlembagaanKu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kempen ini, ikuti kami di laman web ini.

* This is the personal opinion of the writer or the newspaper. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama