Pengikut Setia - Terima Kasih

Sabtu, 10 September 2011

Bong Karim - Wira yang tak didendang..

http://www.blogger.com/img/blank.gif
Gambar oleh Rashidee Mohd Rashid

Assalammualikum.


Berdasarkan perkembangan politik terkini dan penelitian sejarah negara sepertimana diucapkan oleh Prof. Datuk Dr Zainal Kling dan Prof. Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim yang mewakili Majlis Profesor Negara, kami waris Bong Karim dengan ini menuntut gelaran pejuang kemerdekaan dan penghargaan yang sewajarnya diberikan kepada datuk kami. Berdasarkan kenyataan Majlis Profesor Negara.

1. Malaya tidak pernah dijajah, dan semua pegawai yang bekerja dengan kerajaan pada masa itu termasuk polis dan askar adalah dibawah sultan kecuali negeri-negeri selat iaitu Pulau Pinang , Melaka dan Singapura yang dikenali sebagai tanah jajahan mahkota British.

2. Majlis Profesor Negara (MPN) juga menegaskan bahawa perjuangan gerakan politik kiri, termasuk komunis bukan perjuangan kemerdekaan di Tanah Melayu.

Sebaliknya ia dianggap "penderhakaan" kerana didakwa mahu menghapuskan kuasa-kuasa Melayu di Tanah Melayu dan mahu menubuhkan kerajaan republik.


Maka berdasarkan kenyataan diatas dengan ini tuduhan tidak benar terhadap Bong Karim wajib digugurkan dan beliau sepatutnya diangkat sebagai pejuang kemerdekaan dan namanya patut diabadikan didalam buku sejarah negara. Ini kerana :

1. Bong Karim menetang penjajahan yang berlaku di Melaka yang mana Melaka merupakan sebahagian negeri-negeri selat atau tanah jajahan mahkota British.

2. Penglibatan Bong Karim didalam Angkatan Pemuda Insaf (API) tidak menentang Raja Melayu kerana Melaka telahpun tidak mempunyai Raja sejak kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511.

Selama ini Bong Karim telah diftnah dan diberi tekanan tidak sewajarnya dari sudut sosial dan ekonomi dan digelar sebagai seorang pelampau hasil perjuangannya didalam Angkatan Pemuda Insaf (API) dari tahun 1947.


Beliau telah dipenjarakan hampir enam tahun dibawah ISA dan hampir-hampir ke tali gantung.

Bacaan lanjut.

MELAKA, 7 Feb (Bernama) -- Karim Bakar, 84, ataupun dikenali mesra sebagai Bong Karim masih berupaya untuk menceritakan bagaimana beliau pernah menyabung nyawa untuk membebaskan tanahair daripada belenggu penjajahan Inggeris.

Segala-galanya berpunca daripada salah persepsi atau dikelirukan oleh pihak penjajah sendiri yang melabelkan beliau sebagai penyokong golongan kiri atau pelampau.

Bong Karim dari Kampung Sungai Buloh, Melekek, Alor Gajah, di kemuncak perjuangannya pernah diancam maut di tali gantung penjajah.

Seperti lumrahnya pejuang-pejuang ketika itu menggunakan pelbagai saluran atau wadah untuk mencetus penentangan atau menuntut kemerdekaan daripada Inggeris.

Bong Karim memilih Angkatan Pemuda Insaf (API) yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam dan Dr Burhanuddin Al Helmi pada 1946 sebagai saluran perjuangannya, dengan menyandang jawatan ketuanya di Melaka dan Ketua Latihan di peringkat pusat.

Ketika itu API merupakan sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 1941 berpusat di Kuala Lumpur. Sayap wanita PKMM ialah Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

DIANGGAP BERBAHAYA OLEH PENJAJAH INGGERIS

Kerana pembabitan aktifnya dengan API, Bong Karim serta merta dikategorikan oleh Inggeris sebagai orang yang amat berbahaya, anti British dan pakar dalam gerakan bawah tanah.

Semangat bencikan penjajah tersemai dalam minda Bong Karim sejak beliau masih di bangku sekolah rendah lagi, dengan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu seperti Dol Said di Naning, Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang dan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu menjadi sumber inspirasinya.

Menceritakan detik-detik yang membawa beliau berhadapan dengan tali gantung, Bong Karim berkata segala-galanya bermula apabila API sebagai sebuah pertubuhan politik mengambil keputusan meminda perlembagaan tubuhnya dengan menambah perkataan "ketenteraan".

"Kita mengambil keputusan dalam memperjuangkan kemerdekaan kita sanggup menentang British menerusi ketenteraan kalau matlamatnya tidak tercapai menerusi perjuangan politik," katanya ketika ditemui di kediamannya yang terletak berhampiran sebidang tanah sawah terbiar di Kampung Sungai Buloh.

Walaupun kelihatan uzur kerana masalah jantung berlubang dan sudah dimamah usia, Bong Karim yang berjanggut dan berambut putih kelihatan begitu bersemangat sekali ketika bercakap tentang perjuangan lampaunya.

API BERPECAH DARIPADA PKMM

Di rumah separuh papan yang sama, yang dahulunya lebih 20 kali dikepong dan diceroboh polis British, Bong Karim yang kini hidup sebagai petani yang serba daif berkata selain dilabel sebagai sebuah pertubuhan yang berbahaya API turut berpecah daripada parti induk PKMM berikutan penambahan perkataan "ketenteraan" dalam perlembagaannya.

"PKMM tidak bersetuju dengan langkah itu kerana khuatir lambat laun API akan diharamkan oleh British," katanya.

Berikutan perpisahan itu API telah mengambil langkah menubuhkan pusat-pusat latihan ketenteraan di seluruh Tanah Melayu. Ini menyebabkan API semakin diminati sehingga berjaya menarik ribuan anak muda, termasuk lebih 1,000 orang di Melaka untuk menyertainya.

Di Melaka kader ketenteraan yang bakal menjadi barisan depan API dalam perjuangan menentang British menjalani latihan di tiga buah pusat iaitu Padang Kambing, Setulang Daing dan Tanjung Bidara.

"Latihan kita membabitkan anak-anak muda berusia antara 15 dan 18 tahun sungguh berjaya sehingga dalam tempoh tujuh hari pelatih-pelatih ini sudah bersedia untuk berjuang dan berkorban demi ibu pertiwi," katanya.

PERJUANGAN HIDUP ATAU MATI

Menurutnya pelbagai ungkapan dan lagu untuk membangkitkan semangat anggota API sentiasa dikumandangkan sepanjang mereka menjalani latihan termasuk "Merdeka atau Mati" dan "Merdeka Dengan Darah Kalau Tidak Boleh Merdeka Dengan Pena".

Namun begitu, katanya perjuangan ala gerila yang telah dirancang dengan rapi akan hanya dilancarkan oleh API sekiranya usaha untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan Inggeris menerusi saluran politik tidak tercapai.

Beliau mengakui dalam keghairahan memperjuangkan kemerdekaan itu API tanpa disedari telah diresapi anasir-anasir Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempunyai motif tersendiri iaitu mengambil alih teraju pemerintahan selepas penjajah diusir.

Berikutan itu satu gerakan besar-besaran telah dilancarkan oleh pihak Inggeris untuk memburu dan memberkas anggota-anggota API, menyebabkan sebilangan besar daripada mereka termasuk Bong Karim ditangkap, manakala sebilangan lagi melarikan diri ke luar negara.

API turut diharamkan British serentak dengan perisytiharan darurat pada 1948.

MENYABUNG NYAWA

Selepas hampir satu setengah tahun ditahan di Kem Tahanan Tanjung Beruas, Bong Karim menerima perkhabaran yang memeranjatkan iaitu beliau akan dipindahkan ke penjara di Bandar Hilir untuk menjalani hukuman gantung.

Lantas pelbagai persoalan menerjah ke benaknya: "Bersediakah saya untuk meninggalkan isteri (Habsah Amir Bacha) dan tiga orang anak?

Bong Karim yang kini mempunyai 10 orang anak iaitu lima lelaki dan lima perempuan berkata sementara menunggu giliran ke tali gantung, beliau mendapat maklumat bahawa beberapa tahanan lain telah menjalani hukuman mati atau meninggal dunia atas sebab-sebab lain seperti akibat deraan.

"Ini benar-benar menguji ketahanan semangat juang saya, lebih-lebih lagi saya sengaja diletakkan dalam bilik tahanan bersebelahan dengan bilik gantung," katanya.

Katanya, kemudian seorang pegawai Inggeris datang ke penjara itu dan memarahi pengawal penjara kerana masih belum melaksanakan hukuman gantung ke atas beliau.

TERLEPAS DARI TALI GANTUNG

"Dia tanya kenapa lambat sangat hukuman gantung dijalankan ke atas saya sedangkan saya dipindahkan ke penjara itu dari kem tahanan untuk menjalani hukuman mati kerana saya dianggap sangat berbahaya, kuat anti British dan pakar dalam gerakan bawah tanah.

"Pegawai Inggeris itu mengugut untuk menggantung pengawal penjara sebagai ganti jika saya melarikan diri," kata Bong Karim ketika mengimbas saat-saat mendebarkan yang dilaluinya.

Sepanjang tempoh menunggu itu beliau tidak pernah lalai daripada mengerjakan sembahayang lima waktu dan berdoa kepada Allah untuk menguatkan semangat dan dijauhi bala bencana.

"Allah maha berkuasa. Selepas tiga bulan penantian saya tiba-tiba menerima perkhabaran bahawa pihak British tidak jadi untuk melaksanakan hukuman gantung ke atas saya. Sebaliknya saya dipindahkan ke penjara Johor sebelum dipindahkan ke Kem Tahanan Ipoh," katanya.

Kem berkenaan ketika itu mempunyai antara 5,000 dan 6,000 tahanan dari seluruh Semenanjung.

Di kem itu pihak British telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyoal siasat para tahanan mengikut kumpulan.

DIPUJUK DENGAN PELBAGAI TAWARAN

"Pada 1949 mereka menawarkan saya untuk menjadi penterjemah. Saya menerimanya kerana ketika itulah saya dapat tahu banyak rahsia British dan mempunyai akses kepada fail-fail rancangan British dalam menjajah Tanah Melayu," kata Bong Karim bekas pelajar Malacca High School.

Bagaimanapun, kerana semangat anti Britishnya yang begitu tebal, Bong Karim menolak tawaran untuk bekerjasama dengan mereka.

"Mereka menawarkan jawatan yang membolehkan saya kerap ke luar negara dan melawat kedutaan-kedutaan asing sebagai pengintip. Untuk menutup kegiatan itu, saya dijanjikan modal untuk membuka firma perniagaan di beberapa negara," katanya.

Pihak British juga menawarkan pelbagai jenis pekerjaan yang menarik sesuai dengan kedudukannya sebagai lepasan Malacca High School. Itupun turut ditolaknya kerana beliau sedar penjajah membuat segala tawaran itu bagi mematahkan semangat menuntut kemerdekaan yang berkobar-kobar ketika itu.

Setelah lima tahun setengah berada dalam penjara atau kem tahanan British termasuk kem tahanan terakhir di Morib, Bong Karim akhirnya dibebaskan pada 1952.

Di sebalik kegembiraan menyambut ulangtahun ke 50 kemerdekaan negara pada 2007, Bong Karim secara jujur melahirkan rasa terkilannya apabila nama Tanah Melayu lenyap dengan tertubuhnya Malaysia pada 1963.

Dalam menjalani saki baki usianya yang sudah lanjut itu beliau sentiasa khuatir penularan gejala dadah, penyiaran bermacam-macam rancangan radio dan TV berunsur negatif serta penyebaran VCD atau DVD lucah mungkin satu penjajahan bentuk baru yang lebih sukar untuk dihapus kerana ia telah menguasai sepenuhnya minda individu-individu tertentu.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama