Pengikut Setia - Terima Kasih

Selasa, 6 Julai 2010

Sehari di Kolej INTI

Oleh : Fyrol Ikram Othman

July 05, 2010

5 JULAI — Pada 2 Jun 2010 lepas, saya bangun agak awal dari biasa. Hari ini agak istimewa dan mendebarkan. Sebab itulah saya mengambil cuti pada hari ini kerana pada saya akan terlibat dalam satu majlis yang dinamakan Minggu Kesedaran Undang-undang anjuran Persatuan Undang–undang Kolej INTI dengan kerjasama Kempen PerlembagaanKu.

INTI merupakan sebuah kolej yang mempunyai ramai pelajar antarabangsa dan kurang penyertaan bumiputera. Ini tidak mendatangkan masalah kepada saya sebenarnya. Ini adalah sebuah kolej swasta, bukan milik kerajaaan yang mementingkan kuota. Paling tidak kolej ini tentunya mementingkan keuntungan. Jika ramai bumiputera samada Melayu atau Sabah Sarawak ingin menyertai kolej ini, tentu lagi bagus bagi pemilik kolej ini.

Program perlembagaanku di INTI ini merupakan satu inisiatif dari ahli jawatankuasa Kempen PerlembagaanKu. Sebelum saya hadir ke sini pada hari ini, saya terlebih dahulu mengikuti satu bengkel latihan untuk jurulatih/fasilitator di Auditorium KL Bar. Bersama-sama saya adalah barisan peguam muda, pelajar guaman dan undang-undang yang sedia mengenepikan waktu suka ria, mengorbankan masa dan wang ringgit membantu kempen ini.

Enam orang anak muda yang bertungkus lumus menjayakan program ini, iaitu Tung Seng, Yohen, Nadia, Audrey, Daniel dan Joachim. Mereka bersama-sama saya ketika menyertai bengkel untuk fasilitator. Tapi mereka adalah “senior” dalam kempen ini berbanding saya. Mereka kelihatan begitu cekap dalam menjayakan dan menjalankan kempen ini.

Bersempena dengan kejohanan Piala Dunia di Afrika Selatan, tidak ketinggalan kami turut memeriahkannya dengan hadir berjersi putih Kempen PerlembagaanKu, dan saya memakai no 7. Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis dan kemudiannya pengerusi penganjur iaitu Presiden Persatuan Undang-undang Kolej INTI. Tung Seng kemudianya berucap menerangkan tentang kempen perlembagaanku dan disusuli dengan tayangan video RSA (Pesanan Khidmat Rakyat) yang cukup untuk menerangkan tentang kempen ini.

Aktiviti satu dimulakan, tiga soalan dilontarkan oleh kami untuk menguji peserta. Soalannya (1) adakah perlu ISA/undang-undang penahanan pencegahan diwujudkan, (2) adakah perkahwinan sesama jenis harus dibenarkan, dan (3) adakah hukuman mati perlu dimansuhkan.

Para peserta aktif bergerak ditempat yang menunjukan pendirian mereka. Samada “setuju”, “tidak setuju” dan “tidak pasti”. Mereka turut ditanya tentang mengapa mereka berpendirian begitu, tanpa fasilitator (Yohen) membantahnya, tetapi cuma mengajak dan mengajar mereka untuk berfikiran kritis.

Agak menarik mendengar perbagai hujah dari para peserta. Contohnya dalam soal adakah boleh untuk membenarkan perkahwinan sesama jantina. Terdapat seorang peserta yang berdiri di kawasan “tidak pasti” berhujah. “Keluarga perlu dibentuk dari kasih sayang. Jika kasih sayang itu tercetus dari perasaan sama jantina, dan mereka selesa dengan itu, teruskan”. Tetapi pelajar itu berhujah lagi, “Malaysia adalah negara Islam dengan majaroti Muslim, dan tentulah tidak sesuai kerana tidak selari dengan Islam”.

Seorang pelajar lain pula berkata, semua agama juga tidak membenarkan perkahwinan sesama jantina.

Walaupun soalan–soalan tersebut nampaknya cukup sensitif, tetapi kami berjaya membuktikan yang perkara seperti ini boleh dibincangkan secara ilmiah dan terbuka tanpa menimbulkan situasi kurang enak.

Kita harus berfikiran positif dan menanamkan kepercayaan kepada rakyat, pelajar dan orang ramai bahawa mereka kini boleh berfikir dengan matang dan berbicara dengan hemah. Objektif aktiviti ini, iaitu membuka minda dan mengajak rakyat berbicara isu sensitif dengan hemah tercapai. Malah para pelajar dibawa untuk berfikir secara kritis dan berpendirian. Sesuatu yang mungkin kurang di universiti awam yang sentiasa dibawah belenggu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Di universiti awam, sudut pidato yang diwujudkan semula gagal berfungsi kerana para pelajar tsayat untuk menyertainya.

Masakan tidak, sedangkan empat pelajar di sebuah universiti awam kini berdepan tindakan digantung pengajian kerana berkempen di Hulu Selangor tempoh hari sedangkan Perkara 10(1)(a) menjamin kebebasan untuk seseorang itu bercakap dan bersuara dan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan semua warga negara yang mencapai umur 21 tahun layak mengundi dalam pilihan raya. Maka tentulah boleh pula untuk para pelajar berpihak dan berkempen mengikut selera mereka serta menyatakan pendirian mereka.

Sedangkan semua pertubuhan dan parti politik berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang bukan sekadar mendaftarkan pertubuhan, malah memeriksa perlembagaan pertubuhan atau parti tersebut sama ada bertentangan dengan undang-undang negara. Maka dengan itu tentulah tiada parti yang berdaftar berjuang untuk melanggar undang-undang atau memansuhkan perlembagaan, dan dengan itu juga pihak berwajib tidak perlu tsayat akan penglibatan penuntut dan belia dalam pertubuhan dan patut berbangga pula kerana mereka yang menyertai pertubuhan, politik terutamanya sebenarnya telah masuk ke alam perjuangan untuk tanah air tercinta!

Aktiviti seterusnya dimulakan, aktiviti ini ialah membawa pelajar berilusi kononnya Bumi akan berakhir pada tahun 2012 seperti dalam filem. Dunia baru iaitu Bumi versi 2.0 ditemui, kelihatan seperti Bumi, nampak seperti Bumi, namun tiada siapa yang tahu keadaan sebenarnya.

Sebuah kapal angkasa akan kesana untuk menerokanya. Namun hanya enam orang sahaja yang akan dipilih untuk pergi. Para pelajar diberi senarai nama yang mengandungi 25 orang peserta. Mereka terdiri dari perbagai bangsa, kemahiran dan latar belakang pendidikan serta peribadi.

Pelajar dikehendaki memilih enam dari mereka. Yang terbaik untuk memulakan Bumi versi 2.0.

Aktiviti ini sungguh menarik kerana setiap calon mempunyai kelebihan dan latar belakang pendidikan dan peribadi yang menarik. Para peserta sebenarnya dinilai ekoran pemilihan mereka tersebut. Peserta kemudianya membentangkan calon pilihan mereka sebelum di nilai oleh Yohen. Seterusnya, enam calon yang paling ramai dipilih peserta dipilih untuk ke Bumi versi 2.0 tersebut. Aktiviti ketiga ialah para peserta dikehendaki membuat satu perlembagaan bertulis dan preamble. Mereka dibekalkan dengan perlembagaan preamble kepada perlembagaan Amerika Syarikat, Afrika Selatan dan pengisytiharan kemerdekaan Malaya bagi membantu mereka merangka perlembagaan dan preamble mereka.

Setiap kumpulan berjaya menyiapkan preamble dan perlembagaan masing-masing. Mereka membentangkan perlembagaan tersebut sambil dipantau oleh Yohen dan lain-lain fasilitator. Yohen mencatit perkara-perkara penting yang telah peserta tuliskan didalam perlembagaan mereka. Seterusnya program ini diambil alih oleh Pengerusi Kempen PerlembagaanKu, Edmund Bon. Beliau merupakan seorang peguam merangkap aktivis hak asasi manusia.

Rata-rata para peserta berjaya menuliskan perlembagaan dengan baik. Masakan tidak mereka merupakan pelajar jurusan undang-undang.

Edmund memberi mereka imput tambahan seperti yang berkaitan dengan hak-hak asasi manusia seperti mana yang terdapat dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR). Dia juga menjelaskan yang hak asasi manusia terbahagi kepada dua iaitu negatif dan positif iaitu hak asasi berkaitan hak awam dan politik (negatif) serta hak asasi berkaitan ekonomi dan sosial dan budaya (positif).

Ternyata program ini cukup berkesan dan memberikan input berguna kepada para peserta yang terlibat. Mereka merupakan bakal peguam yang akan menegakkan keadilan, yang akan mengatakan hitam itu hitam, putih itu putih. Pendedahan seperti ini memberikan mereka kesedaran tentang tanggungjawab sebenar sebagai warga yang lebih besar dari mengejar kekeyaan dengan kerjaya yang glamer dan elitis. Program ini tamat pada jam tiga. Saya terpaksa pulang awal dan tidak menunggu ucapan pergulungan. Namun terasa begitu puas setelah mengikuti program ini yang turut membantu saya menambahkan pengetahuan dalam perlembagaan dan hak asasi manusia.

Diterbitkan pertama kali di The Malaysian Insider

Rencana di atas merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Majlis Peguam Malaysia. Penulis juga merupakan ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Majlis Peguam Malaysia yang pada masa ini sedang menganjurkan Kempen PerlembagaanKu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kempen ini, ikuti kami di:

Laman web

Twitter

Facebook

YouTube

Kami boleh dihubungi melalui emel.

* This is the personal opinion of the writer or the publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama

Catat Ulasan