Pengikut Setia - Terima Kasih

Ahad, 6 Disember 2009

Tiong Lai beri jaminan IJN tidak dijual




KUALA LUMPUR 5 Dis. - Kerajaan hari ini memberi jaminan Institut Jantung Negara (IJN) yang merupakan aset serta khazanah amat bernilai bagi rakyat negara ini tidak akan dijual kepada mana-mana pihak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebagai sebuah institusi kesihatan milik kerajaan, IJN bertanggungjawab memberi khidmat kesihatan kepada semua lapisan masyarakat khususnya golongan kurang berkemampuan

Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang bercita-cita untuk membeli kepentingan kerajaan dalam IJN supaya memadamkan hasrat tersebut kerana penubuhannya bukan tujuan komersial sebaliknya untuk rakyat.

''IJN merupakan aset dan khazanah negara dan kita tidak akan menjualnya kepada mana-mana pihak. Oleh itu kita harap sesiapa yang berhasrat untuk membeli IJN boleh memadamkan segera harapan itu,'' katanya,

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Injap Jantung 2009 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Pada Disember tahun lalu sebuah syarikat konglomerat tempatan iaitu Sime Darby Bhd. telah mengesahkan hasratnya untuk membeli kepentingan sebanyak 51 peratus dalam IJN Holdings Sdn. Bhd.

Bagaimanapun rancangan itu mendapat bantahan orang ramai hingga memaksa syarikat berkenaan membatalkan hasrat tersebut.

IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn. Bhd, milik penuh Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu Tiong Lai berkata, IJN amat bertuah kerana ia mempunyai warga kerja seperti tenaga pakar, doktor serta kakitangan yang amat komited berkhidmat untuk rakyat.

''Ini adalah satu perkara yang amat membanggakan. Walaupun mereka terutama para doktornya tidak mendapat gaji lumayan tetapi mereka rela berkorban semata-mata untuk berkhidmat kepada rakyat,'' katanya.

Mengulas isu sama, Pengerusi IJN, Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail berkata, semua pihak dalam IJN sanggup berkorban untuk rakyat dan ia merupakan satu tugas yang amat mulia.

Selain itu, beliau berkata, pihak media juga boleh memainkan peranan untuk tidak menggalakkan mana-mana pihak menanam cita-cita membeli pusat jantung berkenaan.

''Semua orang di IJN telah mengorbankan kehidupan mereka untuk rakyat dan tiada sesiapa boleh mengambilnya daripada rakyat," katanya.

Mengenai profil pesakit IJN, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Mohd. Azhari Yakub berkata, 80 peratus terdiri daripada pesakit kurang berkemampuan termasuk penjawat awam.

''Daripada keseluruhan pesakit IJN hanya 20 peratus sahaja yang dikategorikan golongan berkemampuan.

''Inilah fungsi IJN iaitu kita menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada semua lapisan masyarakat lebih-lebih lagi golongan yang tidak berkemampuan,'' katanya.

Minggu lepas, katanya, IJN telah menerima akreditasi daripada satu badan yang dikenali dengan JCI atau Suruhanjaya Bersama Antarabangsa dan badan itu telah mengiktiraf IJN sebagai sebuah pusat perubatan bertaraf dunia.

''Inilah sebagai salah satu contoh yang mana kita sentiasa meningkatkan kemudahan serta perkhidmatan yang ada supaya khidmat kesihatan yang kita berikan kepada pesakit adalah terbaik,'' katanya.

p/s - Mengapakah isu ini timbul? Ini kerana dari maklumat yang dipercayai kerajaan memang akan menjual IJN dan ini tidak disenangi oleh lembaga pengurusan IJN sendiri, sebagai ganti IJN akan dipindahkan di Serdang bersama-sama dengan IPR ( institut Respiratori/ Pusat TIBI Negara) yang tanahnya dijual lepada pihak swasta untuk pembangunan bangunan pencakar langit yang boleh berpusing. Nampaknya hasrat kerajaan untuk menjual IJN kepada Sime Darby tidak berhasil. Hidup Rakyat! Sedikit masa dulu hasrat kerajaan untuk memindahkan HKL juga dihalang oleh rakyat. HKL, IJN, IPR, IMR dan Pusat Darah Negara adalah antara institusi penting perubatan negara yang berada dijalan Pahang dan jalan Tun Razak. UM dan Zoo Negara antara yang pernah menghadapi cabaran untuk dipindahkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalian digalakan untuk berkomunikasi dengan PenaKiri.
Tolong tegur dan beri sebarang cadangan untuk kebaikan bersama