Pengikut Setia - Terima Kasih

Selasa, 22 Jun 2010

Siri Ceramah Umum AUKU


Baru-baru ini Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sekali lagi menjadi perhatian umum apabila empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM bakal dikenakan tindakan disiplin di bawah akta tersebut kerana didakwa melibatkan diri dalam kempen pilihanraya kecil Hulu Selangor. Mereka telah dituduh melanggar Seksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang mahasiswa dari menyatakan sokongan atau simpati terhadap mana-mana parti politik.

Walaupun semakin banyak perhatian diberikan terhadap kes tersebut, pemahaman tentang latar belakang, fungsi, keberkesanan dan impak sebenar AUKU masih menjadi persoalan serta tanda tanya dikalangan mahasiswa dan juga masyarakat umum.

Siri Ceramah Umum AUKU ini bertujuan untuk membincangkan akta ini secara menyeluruh dari sudut perspektif sejarah, perlembagaan, hak asasi, dan juga penguatkuasaan. Program ini dianjurkan oleh KL & Selangor Chinese Assembly Hall Youth Section.

Ceramah Umum AUKU (1):
AUKU & SEJARAH KEBANGKITAN MAHASISWA 1960AN
Tarikh: Khamis, 1 Julai 2010
Masa: 8:30 malam
Penceramah: Fahmi Reza, Penyelidik sejarah gerakan mahasiswa

Ceramah Umum AUKU (2):
AUKU & PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Tarikh: Khamis, 8 Julai 2010
Masa: 8:30 malam
Penceramah: Azmi Sharom, Prof. Madya Fakulti Undang-Undang, UM dan Soh Sook Hwa, Bekas mahasiswa USM yang didakwa di bawah AUKU

Ceramah Umum AUKU (3):
AUKU & HAK MAHASISWA
Tarikh: Khamis, 15 Julai 2010
Masa: 8:30 malam
Penceramah: Shazni Munir, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Yap Heng Lung, Sekretariat Malaysian Youth and Students Democratic Movement (DEMA)

Ceramah Umum AUKU (4):
AUKU & MASA DEPAN
Tarikh: Khamis, 22 Julai 2010
Masa: 8:30 malam
Penceramah: Teh Yee Keong, Mantan Penyelaras Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU

Tempat: Auditorium KLSCAH, Jalan Maharajalela, KL (berdekatan Stesen Monorel Maharajalela)
Untuk maklumat lanjut sila hubungi: 03-22746645 (Miss Loo)

Selasa, 15 Jun 2010

Serlahkan Kecintaan terhadap Bahasa Kebangsaan dengan Menggunakan Istilah Bahasa Melayu

oleh- Mohd Isa Abd Razak (25 November 2009)


Bahasa kebangsaan kita berkembang begitu pesat. Perkembangan itu ketara dari segi penciptaan istilah. Kini bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu, mempunyai hampir sejuta istilah. Pengguna bahasa Melayu menggunakan istilah itu dalam pelbagai ranah ilmu.

Kita memang tidak perlu mengetahui, apalagi mengingat, semua istilah itu. Namun, kita perlu mengetahui istilah yang lazim digunakan agar kita dapat menggunakan istilah yang betul sama ada dalam komunikasi lisan atau tulisan. Antara istilah yang lazim itu termasuklah yang berkaitan dengan perniagaan, perhubungan dan nama tempat.

Ada banyak sumber untuk kita mengesan istilah dalam sesuatu bidang. Antara sumber itu termasuklah kemudahan rujukan yang terdapat di laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selain itu, kita dapat pula mengesan beberapa banyak istilah dalam blog guru Bahasa Melayu. Antara blog itu termasuklah blog Witra.

Dalam blog Witra terdapat dua masukan yang memaparkan 58 istilah daripada bahasa Inggeris dan padanannya dalam bahasa Melayu. Masukan pertama memaparkan 23 istilah dan masukan kedua memaparkan 35 istilah. Terdapat beberapa ulasan oleh beberapa orang pengunjung bagi setiap masukan.

Di bawah ini ialah 20 istilah yang saya petik daripada blog itu.

1. anjung kopi (coffee terrace)
2. bas ulang-alik (shuttle bus)
3. bilik acu (fitting room)
4. bual maya (virtual chat)
5. jualan perabis (clearance sale)
6. kem bina diri (summer camp)
7. kira detik (countdown)
8. lamin kopi (coffee house)
9. latar pentas (back-drop)
10. megapura (megamall)
11. nirplag (unplugged)
12. pelancongan desa (homestay)
13. peristirahatan (lounge)
14. pinggir air (waterfront)
15. pisang sejoli (banana split)
16. pramusaji (waiter/waitress)
17. persantaian (resort)
18. teratak desa (homestead)
19. terjun lelabah (bungee jumping)
20. ujana teh (tea garden)

Saya percaya kebanyakan kita sudah biasa menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris. Saya juga termasuk dalam golongan pengguna bahasa yang lebih banyak menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris berbanding dengan padanannya dalam bahasa Melayu.

Misalnya, saya biasa menyebut back-drop. Jarang benar saya menggunakan istilah latar pentas sedangkan saya memang tahu bahawa back-drop itu ialah latar pentas. Seingat saya, semua rakan sekerja saya dahulu menggunakan istilah back-drop.

Ketika menjadi penjawat awam, saya kerap tinggal di hotel dan resort. Bagi kata resort, kalau adapun, hanya sekali dua sahaja saya menyebut persantaian. Hal ini berlaku kerana hampir semua tempat itu memang bernama resort.

Bagi waterfront, baru kini saya mengetahui padanannya ialah pinggir air. Dahulu, saya dan rakan-rakan hanya menggunakan istilah waterfront apabila berada di Kuching dan beberapa kota yang ada tempat pinggir air. Kini, saya akan berusaha menggunakan istilah pinggir air pula.

Pada hemat saya, pihak yang berkenaan wajar menggunakan istilah dalam bahasa Melayu seperti persantaian, peristirahatan, pinggir air dan megapura. Kita tidak dapat mengharapkan pengguna bahasa Melayu menggunakan istilah ini jikalau pihak yang berkenaan terus menggunakan istilah Inggeris. Apabila mereka menggunakan istilah bahasa Melayu bagi nama tempat, bangunan dan sebagainya, mahu tidak mahu kita akan terlazim dengan istilah dalam bahasa Melayu.

Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti mempunyai semangat cinta akan negara kita. Antara cara kita menyerlahkan kecintaan terhadap negara adalah dengan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua ranah komunikasi. Kita perlu berusaha menggunakan bahasa Melayu yang baku, sopan dan indah. Antara caranya termasuklah menggunakan istilah dalam bahasa Melayu seperti yang terdapat dalam senarai yang di atas.

Sumber: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/11/serlahkan-kecintaan-terhadap-bahasa.html

Isnin, 14 Jun 2010

SIMPOSIUM “LIM LIAN GEOK DAN USMAN AWANG: NASIONALIS MALAYSIA YANG TULEN”

SIMPOSIUM “LIM LIAN GEOK DAN USMAN AWANG: NASIONALIS MALAYSIA YANG TULEN”


Penganjur: LLG Cultural Development Centre Bhd.

Tarikh: 19-6-2010 (Sabtu)

Tempat: Auditorium Tingkat 1, Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor

Bayaran RM10 sahaja, dapat antologi puisi percuma, makalah, kudapan dan makan tengah hari (halal) daftar s.i.n.i

ATURCARA
Masa Aturcara
9:00am—9:30am Pendaftaran
9:30am—9:45am Majlis Perasmian Simposium oleh Pengerusi LLG Cultural Development Centre Dato’ Dr Toh Kin Woon
9:45am—9:50am Penyampaian cenderamata
9:50am—10:20am Kudapan
10:20am—10:30am Persembahan multimedia riwayat hidup dan perjuangan Usman Awang
Sesi I Isu Bahasa dan Gagasan Perjuangan Lim Lian Geok dan Usman Awang
10:30am—11:20am Moderator : Dato’ Dr. Toh Kin Woon

Pemakalah :

1. Sdr. Kassim Mohamad: Isu Bahasa dan Gagasan Perjuangan Usman Awang

2.Dr. Tan Yao Sua: Isu dan Perjuangan Pendidikan Bahasa Ibunda Lim Lian Geok

11:20am—11:30am Sesi Soal Jawab
11:30am—11:40pm Persembahan multimedia riwayat hidup dan perjuangan Lim Lian Geok
Sesi II Tema dan Pemikiran Karya Lim Lian Geok dan Usman Awang
11:40am—12:55pm Moderator : Sdr. Ho Kee Chye

Pemakalah :

1. Sdr. Uthaya Sankar SB: Antara KeMelayuan dan Kemanusiaan Sejagat: Sorotan Karya Usman Awang

2. Sdr. Lee Ban Chen: Pemikiran Realisme dan Sosialisme dalam Karya Usman Awang

3.Dr. Chong Fah Hing: Patriotisme dan Nasionalisme dalam Karya Lim Lian Geok dan Usman Awang
12:55pm—1:05pm Sesi Soal Jawab
1:05pm—1:15pm Sesi Rumusan
1:15pm Jamuan makan tengah hari dan bersurai

Selasa, 8 Jun 2010

Antara Perlembagaan dan Gunung Kinabalu







Antara Perlembagaan dan Gunung Kinabalu
oleh Fyrol Ikram

Perlembagaan Persekutuan kini acapkali disebut-sebut oleh banyak pihak. Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) semasa Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor mengatakan mereka akan menyokong sesiapa sahaja yang menyokong dan mendokong Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut memberikan salinan Perlembagaan Persekutuan kepada sesiapa yang dilihat menentang kewujudan mereka. Hindraf pula, semasa melakukan demonstrasi terbesar kaum India membawa sepanduk tentang Perkara 10 yang memberikan hak untuk berhimpun.

Tindakan ini diambil setelah pihak polis secara bersungguh-sungguh bertindak menghalang perhimpunan tersebut. Begitu juga pihak-pihak yang menentang PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ). Mereka berkata dasar ini bercanggah dengan Perkara 152 berkenaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Kitab Perlembagaan Persekutuan turut diselak bagi menyelesaikan krisis politik Negeri Perak. Isu di Negeri Perak bermula dengan sama ada keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri sah atau tidak apabila mengosongkan tiga kerusi Adun lompat, sama ada Sultan berhak atau tidak memecat Menteri Besar dan melantik Menteri Besar baru tanpa dibawa ke Dewan Undangan Negeri dan apabila Menteri Besar sedia ada telah memohon Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Melihat kepada isu-isu ini, maka bertepatan sekalilah untuk Kempen PerlembagaanKu oleh Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan yang ditubuhkan dibawah naungan Majlis Peguam Malaysia ini dijalankan. Kempen ini bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia dan memberi kesedaran tentang Perlembagaan Persekutuan

Ini mengingatkan aku tentang peristiwa dua tahun lalu, selepas Pilihan Raya Umum 2008, aku yang baru melangsungkan perkahwinanku memilih Sabah sebagai tempat untuk berbulan madu. Sabah, negeri di bawah bayu merupakan sebuah negeri yang cantik dan menarik. Harta yang paling tidak ternilai yang dimiliki oleh Sabah ialah Gunung Kinabalu.

Gunung Kinabalu merupakan gunung yang tertinggi di Borneo, Malaysia. Maka tidak hairanlah Gunung Kinabalu dijadikan sebagai lambang pada bendera Negeri Sabah.

Aku tinggal selama seminggu di Sabah. Menginap di sebuah pangsapuri di Lok Kawi. Aku menyewa sebuah kenderaan sebagai medium pengangkutanku. Setiap hari kami pasti akan ke Kota Kinabalu.

Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah merupakan sebuah bandar yang besar dan bersih. Dari Kota Kinabalu, kita pasti akan dapat melihat puncak Gunung Kinabalu yang tersergam indah, lebih-lebih lagi jika cuaca baik dan pada awal pagi.

Berbekalkan peta, aku memandu ke Gunung Kinabalu. Aku meluangkan masa selama dua hari untuk bersiar-siar di sekitar Gunung Kinabalu. Kami pergi ke Kundasang, Ranau dan dan air panas Poring yang juga masih sebahagian dari Taman Negara Kinabalu. Selain itu aku turut melawat Sabah Tea.

Gunung Kinabalu betul-betul telah menjadi satu kemegahan warga Sabah. Malah Taman Negara Kinabalu juga telah diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco sejak tahun 2000 lagi. Oleh yang demikian Gunung Kinabalu juga merupakan satu kemegahan untuk setiap warga Malaysia.

Bagi aku setiap warganegara perlu mengetahui dan menghargai sebelum dapat mencintai Gunung Kinabalu. Walaupun seseorang itu bukan berasal dari Sabah atau Kepulauan Borneo, tetapi sebagai warga Malaysia kita wajib mengambil tahu dan bebangga dengannya. Setiap warga perlu tahu di mana gunung ini berada, berapa ketinggiannya dan bagaimana sejarahnya.

Dengan ini pastilah gunung ini dan taman negaranya akan lebih dihargai dan dijagai. Begitulah juga dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia seperti mana Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Malaysia.

Seperti mana juga Gunung Kinabalu yang boleh dilihat dimana-mana dari Kota Kinabalu, Perlembagaan Persekutuan juga sepatutnya begitu. Perlembagaan Persekutuan harus sentiasa dapat dilihat dalam hati dan sikap setiap warga.

Kita tidak perlu menjadi seperti Profesor Aziz Bari atau Profesor Shad Saleem Faruqi untuk tahu mengenai Perlembagaan, cukuplah kita mengetahui tentang beberapa perkara penting terutamanya yang berkaitan dengan diri kita sebagai seorang warga persekutuan.

Ini kerana Perlembagaan Persekutuan merangkumi hampir semua aspek kehidupan rakyat Malaysia, daripada kebebasan asas untuk bergerak kepada hak untuk kerajaan yang dipilih melalui proses pilihan raya.

Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen utama yang memberi makna kepada kita semua sebagai satu bangsa dan memelihara dasar pemerintahan demokratik.

Oleh kerana setiap rakyat Malaysia berhak mendapat manfaat daripada daripada janji keperlembagaan dan pemerintahan demokratik yang terkandung di dalamnya, maka setiap rakyat Malaysia harus dilengkapi dengan pengetahuan dan kefahaman tentang Perlembagaan.

Untuk memahami dengan lebih lanjut dan baik, kita juga wajib mengetahui sejarah dan semangat bagaimana perlembagaan ini dibentuk. Dengan ini kita akan lebih merasai hidupnya Perlembagaan itu sebagai tiang seri negara ini.

* Rencana di atas merupakan pandangan peribadi penulis. Penulis juga merupakan ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, Majlis Peguam Malaysia yang pada masa ini sedang menganjurkan Kempen PerlembagaanKu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kempen ini, ikuti kami di laman web ini.

* This is the personal opinion of the writer or the newspaper. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.